KUALA LUMPUR: Komitmen kerajaan untuk mengangkat suara anak muda dalam agenda pemulihan ekonomi rakyat dan negara disambut baik.

Menurut pengasas bersama dan pengarah Advokasi Undi18, Tharma Pillai, ia selaras perjuangan agar suara belia didengari dan dipertimbang dalam perancangan dasar kerajaan.

"Kita perlu sedari di Malaysia ini, ramai anak muda yang berbakat, yang mempunyai daya saing yang bagus, yang mempunyai ilmu-ilmu yang bagus dan sebagainya," kata Tharma.

Beliau juga berharap agar perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat menempatkan anak muda di posisi penting, khususnya di dalam Kabinet, agar suara muda ini tidak terpinggir.

"Kita angkatlah anak-anak muda ini, kita berikanlah mereka peluang untuk menyumbang kepada negara," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.     

Beliau berpendapat perlu ada satu mekanisme atau platform tepat supaya anak muda boleh memberikan cadangan kepada pihak kerajaan.

"Kita janganlah terus dengan budaya bahawa jika ingin didengari kerajaan, kena viral, kena bising di media sosial dan sebagainya.

"Ini bukti bahawa kerajaan tidak mempunyai sistem yang tepat di mana rakyat berasakan bahawa suara mereka tidak didengari dan terpaksa pergi ke TikTok, Twitter, Facebook untuk menyuarakan pendapat," katanya.       

Tharma turut menegaskan, inilah antara isu-isu yang harus diperbaiki untuk memastikan suara anak muda lebih didengari, bukan sekadar retorik tetapi realiti.