DUNGUN: Masyarakat termasuk golongan rentan, warga emas dan barisan hadapan menyambut baik cadangan pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin COVID-19 kepada rakyat negara ini.

Program yang dijangka bermula Oktober depan itu disifatkan amat bersesuaian dengan keadaan semasa, malah beberapa negara lain sudahpun memulakannya.

Bagi peniaga makanan, Kamaruddin Che Lah, dari Kampung Sura, di sini, dia yakin pemberian dos ketiga baik untuk kesihatan dan pencegahan COVID-19 terutama membabitkan individu yang mempunyai penyakit.

"Untuk dos pertama sebelum ini, saya rasa risau untuk cucuk vaksin ini kerana ada penyakit jantung. Tapi lepas cucuk tak ada apa kesan sampingan yang tidak baik.

"Saya rasa sihat saja. Jadi rasanya dos ketiga itu tiada kesan yang tidak baik juga sebaliknya akan meningkatkan lagi daya tahan badan daripada COVID-19," katanya di sini, hari ini.

Suri rumah, Nur Mariah Idris, berpendapat warga emas akan mendapat lebih manfaat daripada suntikan dos ketiga vaksin berkenaan.

"Memang baguslah untuk yang berumur ini, termasuk yang ada penyakit. Mereka terdedah kepada pelbagai penyakit, jadi sekurang-kurangnya perlindungan daripada COVID-19 itu sudah kuat," katanya.

Seorang lagi suri rumah, Suriani Abu Bakar, berkata dia setuju keutamaan dos ketiga diberikan kepada golongan rentan termasuk barisan hadapan yang terdedah kepada jangkitan pada bila-bila masa.

"Bagi pendapat saya, sangat eloklah untuk masyarakat kita ini, ia dapat meningkatkan imuniti tubuh," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Terengganu, Dr Ermeey Abd Kadir menasihatkan golongan berisiko tinggi untuk mendapatkan dos ketiga secara sukarela.

"Bagi golongan rentan yang mempunyai penyakut, mereka perlu sedar sekarang ini kes telahpun makin menurun jadi nampak terbuktilah keberkesanan vaksin itu.

"Jadi jangan takut, dapatkan suntikan dos ketiga itu secara sukarela apabila tiba masanya nanti," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin COVID-19 untuk golongan rentan dan berisiko tinggi dijangka bermula bulan depan.

Beliau berkata golongan itu termasuk warga emas dengan komorbiditi seperti masalah kesihatan kronik, petugas barisan hadapan, individu kurang daya tahan serta mereka yang tinggal dan bekerja di pusat jagaan jangka panjang.