KUALA LUMPUR: Tuntutan Sabah dan Sarawak berkenaan pembahagian 35 peratus kerusi parlimen kepads dua negeri itu adalah bersesuaian dengan semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ini kerana menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir, 15 kerusi yang dilepaskan Singapura pada tahun 1965 sepatutnya diagihkan kepada Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, ia juga bersesuaian dengan nisbahnya pada tahun tersebut.

‘’Jadi apa signifikannya perlu dikembalikan sebanyak 35 peratus kerusi untuk Sabah dan Sarawak ini adalah disebabkan kemungkinan implikasinya dari segi apabila berlaku sebarang pindaan perlembagaan jadi mereka tidak mahu Semenanjung Malaysia menguasai kerusi dominan.

“Sehingga boleh mempengaruhi keputusan pindaan perlembagaan jadi Sarawak dan Sabah mahu satu suara yang betul-betul kuat, dominan untuk memungkinkan mereka juga sama-sama dapat membentuk nasib dan hak mereka sesuai semangat asal MA63,’’ katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.

Pada masa sama, Dr Jeniri akui langkah merealisasikannya tidak mudah dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memungkinkan hasrat ini dicapai.

‘’Saya percaya SPR ada strategi dan pendekatan untuk memungkinkan hasrat ini dapat dicapai tanpa melukai hati pemimpin dan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Walaupun mungkin tidak dapat dicapai 100 peratus kepada hasrat 35 peratus tapi sekurang-kurangnya ada usaha untuk memenuhi kehendak itu dan sesuai dengan apa yang dihasratkan pejuang Sabah dan Sarawak pada 1963,’’ tambahnya.

MA63 | Suara Sabah dan Sarawak di Parlimen perlu dominan

Terdahulu, pembahagian 35 peratus kerusi parlimen kepada Sabah dan Sarawak hangat diperkatakan sejak Jumaat.

Bagaimanapun, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyerahkan kepada SPR untuk menentukannya.

Beliau pada masa sama turut mengingatkan pembahagian 35 peratus ini penting kerana komposisi ketika ini meletakkan kuasa meminda perlembagaan di tangan ahli parlimen semenanjung tanpa ahli parlimen Sabah dan Sarawak.