NATIONAL
Subkontraktor didenda RM5,000 kerana menipu

Seorang subkontraktor didenda RM5,000 kerana menipu dalam kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kuarters lama PPM Langkawi. -Gambar hiasan/Freepik
ALOR SETAR: Seorang subkontraktor didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan menipu membabitkan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kuarters lama Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi, empat tahun lepas.
Ringkasan AI
- Seorang subkontraktor didenda RM5,000 kerana menipu dalam kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kuarters lama PPM Langkawi.
- Tertuduh boleh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda.
- Tertuduh merayu hukuman ringan kerana tanggungan keluarga, namun SPRM mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai subkontraktor kepada syarikat Lembah Dimensi Enterprise didakwa secara tidak jujur menipu Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah Supt Zailani Mohd Yusoff.
Tertuduh didakwa memperdayakannya untuk mempercayai bahawa kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kuarters lama PPM Langkawi telah siap dijalankan, sedangkan dua unit hook besi ikat anjing dan 19 unit paip air dan hos yang berjumlah RM2,260 tidak dipasang.
Mohd Farid Wajdi dituduh dengan curangnya mendorong mangsa menurunkan tandatangan pada invois syarikat tersebut bertarikh 13 Okt 2020 di IPK Kedah bagi pengesahan siap kerja untuk tujuan pembayaran.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan atas alasan dia perlu menyara empat orang anak serta ibu bapanya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Zulfadli Azharudin mencadangkan mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami