Skip to main content

Malaysia

'Subsidi bersasar perlu adil, libatkan juga ahli politik, pegawai kerajaan T20' - Sivaraj

Sivaraj
Sivaraj Chandran berkata menteri, ahli politik termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai kanan kerajaan perlu memimpin melalui teladan dalam pelaksanaan subsidi bersasar.

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran melaksanakan rasionalisasi subsidi secara adil dengan turut melibatkan ahli politik serta pegawai kanan kerajaan yang berpendapatan bulanan RM11,820 ke atas selaras kategori T20. 

Bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Sivaraj Chandran berkata menteri, ahli politik termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai kanan kerajaan perlu menunjukkan kepimpinan melalui teladan dalam pelaksanaan subsidi bersasar. 

Menurutnya, langkah itu penting terutama ketika rakyat turut diminta berkorban demi memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan. 

Katanya, rakyat akan lebih mudah menerima sesuatu dasar walaupun sukar sekiranya pelaksanaannya dibuat secara adil, saksama dan tidak hanya membebankan golongan tertentu. 

"Kerajaan perlu memastikan setiap keputusan yang dibuat bukan sahaja menjaga kedudukan kewangan negara, tetapi turut melindungi kepentingan rakyat keseluruhannya," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin. 

Dalam perkembangan sama, Sivaraj yang juga Pengarah Strategi Nasional MIC itu berkata, langkah kerajaan mengkaji semula rasionalisasi subsidi RON95 disifatkan sebagai tindakan progresif dan tepat pada masanya. 

Kata beliau, kerajaan tidak boleh terus menanggung beban subsidi yang kini dianggarkan mencecah hampir RM5 bilion sebulan atau sekitar RM60 bilion setahun. 

Menurutnya, penjimatan daripada subsidi itu boleh disalurkan kepada program pembangunan negara serta usaha memperkasakan rakyat dalam sektor yang lebih memerlukan. 

Bagaimanapun, beliau menegaskan definisi golongan T20 atau golongan mahakaya perlu diperjelaskan terlebih dahulu sebelum pelaksanaan subsidi bersasar dilakukan. 

"Ini bagi mengelakkan supaya rakyat tidak keliru dan tidak merasakan mereka dihukum dasar yang tidak mempunyai penjelasan tepat," ujarnya. 

Katanya, kerajaan juga perlu mengambil kira kesan pelaksanaan subsidi diesel sebelum ini yang didakwa memberi tekanan kepada ramai peniaga kecil. 

"Ramai peniaga kecil tidak dapat menjalankan operasi seperti biasa akibat kenaikan harga diesel yang mendadak, malah ada yang gagal memohon subsidi kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan. 

"Mereka bukan syarikat besar atau golongan korporat, sebaliknya hanya peniaga kecil yang menggunakan kenderaan seperti pikap untuk menjalankan perniagaan harian dan mencari rezeki," jelasnya. 

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan perlu mempertimbangkan pemberian subsidi kepada golongan peniaga kecil khususnya mereka yang menggunakan kenderaan bagi tujuan perniagaan bagi membantu mengurangkan kos operasi dan mengekang kenaikan harga barangan di pasaran.

Must Watch Video