PUTRAJAYA: Subsidi tiket penerbangan FlySiswa bernilai RM400 untuk pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak kini diperluas kepada lebih banyak institusi pendidikan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu dijangka memanfaatkan kira‑kira 50,000 pelajar tahun ini, berbanding 44,000 pelajar pada tahun lalu.
Advertisement
Beliau menjelaskan bahawa bantuan tersebut kini turut merangkumi pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia, Institut Perladangan dan Komoditi, universiti separa kerajaan, serta institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.
“Ramai pelajar dari Sabah dan Sarawak, jadi kita teruskan FlySiswa. Tiket penerbangan bernilai RM400 ini merupakan subsidi untuk mengurangkan beban mereka,” katanya semasa berucap pada program bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini, pada Isnin.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata Bantuan Khas Kewangan (BKK) RM500 untuk semua penjawat awam Gred 15 dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak, akan dibayar pada 13 Mac.
"Ini termasuk pesara kerajaan dan veteran yang berpencen dan tidak berpencen pun dapat RM250 pada tarikh yang sama iaitu 13 Mac dan bantuan ini dikecualikan daripada cukai pendapatan," katanya.
Pada masa sama, sumbangan khas RM500 turut disalurkan pada 13 Mac kepada lebih 70,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut sebagai penghargaan atas khidmat mereka.