KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa sehingga kini masih belum membekalkan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) sehingga bulan Disember tahun 2021 walaupun ia sudah diwartakan pada Januari lepas.

Pengarah Pilihanraya Pusat PKR, Fuziah Salleh berkata, SPR telah mengeluarkan senarai harga Daftar Pemilih Induk (DPI) 2021 pada 7 Februari lepas dan menyatakan ia sedia untuk diberikan kepada parti politik.

“Namun sehingga kini, sebulan selepas DPT BLN12/2021 diwartakan, SPR masih belum bersedia membekalkan senarai daftar tersebut kepada pihak yang ingin membeli. Apakah alasan sebenar kegagalan tersebut?

“Adakah ia disebabkan data berikut ada kesalahan atau ia disebabkan SPR tidak mahu membekalkan senarai tersebut kepada pihak pembangkang? Atau apa sebenarnya?

“Berkali-kali pihak unit data Pakatan Harapan (PH) tidak dibenarkan membeli DPT BLN12/2021 dengan pelbagai alasan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, sebelum ini SPR menyediakan Rang Daftar Pemilih Tambahan setiap suku tahun yang dipamerkan dan dibekalkan kepada parti politik namun amalan tersebut tidak lagi diteruskan.


Bahkan, parti politik terpaksa membeli DPT dengan kos yang mahal pula.

“Parti politik tidak lagi dibenarkan menyemak kesahihan daftar tambahan dalam bentuk rang yang dipamerkan. Ia kini dipaksa untuk kami terima dan dipaksa pula untuk kami beli dengan harga yang mahal untuk tujuan menyemak.

“Nah.. ternyata apabila ia tidak dipamerkan kali ini, terdapat pula nama-nama yang pelik dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan Disember 2021.

“Saya gesa SPR membuat kenyataan secara terbuka berkenaan integriti data yang telah pun diwartakan tersebut. Bagaimana SPR boleh mewartakan sesuatu data melibatkan lebih 5.8 juta pengundi, tetapi dikhuatiri kesahihannya?” soalnya.

Katanya lagi, dia menerima pelbagai aduan dari unit data parti PH berkenaan data yang pelik-pelik sebagai nama pengundi.

“Seperti 'Deceased' dan 'Expired' sebagai nama pemilih. Maka saya sendiri membuat semakan pemilih di laman web SPR menggunakan sampel nombor kad pengenalan dari DPT tersebut.

“Ternyata aduan tersebut adalah benar,” katanya sambil merujuk lampiran yang disediakannya yang turut dikongsikan dalam Twitter rasmi miliknya.

Astro AWANI sedang berusaha mendapatkan pengesahan dari pihak SPR berhubung perkara ini.