Selepas didakwa memiliki senjata berbahaya, suami YouTuber masakan terkenal, S. Pavithra didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Ipoh pada petang Jumaat atas dakwaan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Selasa lalu.

Tertuduh, M. Sugu, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila tuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di bahagian bibir, pipi sebelah kiri dan lengan kanan Pavithra, 28, dengan menggunakan telefon bimbit dan hulu sabit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh antara jam 4 petang hingga 5 petang, 21 Julai lalu.

Sugu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail menawarkan jaminan RM10,000 namun peguam tertuduh Mahinderjit Singh memohon jaminan dikurangkan kepada RM3,000.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada sebelah pagi, di mahkamah yang sama, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit juga di parkir HRPB, kira-kira jam 6 petang, hari yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebat.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin di samping dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap 1 hari bulan sehingga ke selesai.