Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini melahirkan rasa bimbangnya ke atas cadangan pindaan Kerajaan ke atas Akta Pencegahan Penjenayah (PCA) 1959 yang dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada minggu lalu.

Menurut pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam, Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 terdapat "beberapa peruntukan yang tidak selari dengan prinsip asas hak asasi manusia" seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Peruntukan yang dipersoalkan terutamanya ialah berkenaan dengan penahanan tanpa bicara dan perwakilan undang-undang, katanya.

Hasmy menggesa Kerajaan supaya menangguhkan pembentangan kali kedua rang undang-undang tersebut dan menjalankan kajian semula ke atas cadangan-cadangan pindaan dengan mengambil kira prinsip-prinsip hak asasi manusia berikut:
Hasmy berkata walaupun Rang Undang-udang itu menjadikannya satu keperluan untuk laporan-laporan siasatan dikemukakan kepada Lembaga Pencegahan Jenayah (Lembaga) dan bukannya Menteri, cadangan Seksyen 9(5) dan Seksyen 9A(2) menafikan hak seseorang untuk perwakilan undang-undang seperti yang terjamin di bawah Perkara 5(3) dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 7 dalam UDHR.

Beliau berkata Suruhanjaya juga bimbang dengan cadangan Seksyen 7C yang memberi kuasa kepada Lembaga untuk mengeluarkan perintah tahanan terhadap seseorang yang telah melakukan dua atau lebih kesalahan yang serius, sama ada dia telah disabitkan atau tidak, dan semata-mata berdasarkan kecukupan bukti.

“Suruhanjaya berpendapat bahawa peruntukan ini mencabuli hak seseorang kepada perbicaraan yang adil, perlindungan terhadap perbicaraan berulang serta hak untuk kesaksamaan di sisi undang-undang dan hak untuk dipertimbangkan tidak bersalah sehingga terbukti bersalah, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 7(2) dan Perkara 8(1) dalam Perlembagaan Persekutuan."

Hasmy juga berkata Suhakam juga melahirkan rasa kecewa ke atas cadangan Seksyen 15A yang
menghalang semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga melainkan perkara-perkara yang berkenaan prosedur seterusnya menafikan hak seseorang individu untuk mendapatkan perbicaraan yang adil di mahkamah dengan segala jaminan yang perlu untuk pembelaannya.