BATU PAHAT: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan supaya rakyat yang diuji dengan banjir agar terus bersabar.

Titah nasihat baginda itu sekali gus menaikkan semangat mangsa banjir yang ditemui baginda di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yong Peng di sini.

Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md Ali memaklumkan, Sultan Johor bertitah sedemikian selain mengingatkan rakyat agar sentiasa berwaspada dan menjaga kesihatan.

“Alhamdulillah, Yang Maha Mulia Tuanku berikan semangat, memberikan harapan kepada rakyat supaya sentiasa menjaga kesihatan, berwaspada dan sabar… yang penting sabar yang Tuanku titah, Alhamdulillah mangsa-mangsa dalam keadaan baik,” kata Nasri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan Sultan Ibrahim ke PPS itu pada Sabtu.

Terdahulu, Sultan Ibrahim yang tiba di pekarangan SMK Yong Peng pada pukul 11.20 pagi meluangkan masa kira-kira 20 minit bagi mendengar taklimat berkaitan banjir di daerah Batu Pahat dan melihat sendiri keadaan mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan.

Sultan ibrahim turut berkenan menyampaikan makanan untuk juadah makan tengah hari kepada mangsa yang terlibat selain berkenaan mengurniakan sumbangan kewangan.

Berangkat sama, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Sejak Isnin lalu, dua PPS dibuka di daerah Batu Pahat dengan keseluruhan 74 mangsa terdiri daripada 21 keluarga dipindahkan setakat ini.

PPS SMK Yong Peng yang dibuka pada pukul 9 malam Isnin lalu menempatkan 54 mangsa daripada 18 keluarga penduduk Kampung Batu 1, Jalan Labis, Kampung Temehel, Sungai Sedi dan Kampung Paya.

Manakala, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sejati dibuka pada pukul 4 petang semalam dan menempatkan 20 mangsa daripada tiga keluarga Kampung Parit Lapis Basri.