JOHOR BAHRU:Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dukacita dengan berita yang tersebar di media berkaitan dengan wanita dari negeri itu yang dilaporkan melangsungkan pernikahan tidak mengikut hukum syarak di negara India.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi baginda pada Isnin, Sultan Ibrahim bertitah, sebagai Ketua Agama Islam Negeri Johor, baginda sentiasa memastikan kehidupan rakyat Johor dan yang berasal dari negeri ini akan dipayungi peruntukan undang-undang yang mana Islam adalah paksi dan tiang seri kepada kehidupan di negeri ini.

Sehubungan itu, baginda menitahkan agar semua usaha yang perlu dibuat oleh Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) untuk memastikan keabsahan terkini status wanita tersebut.

Titah baginda, kesahihan berita boleh dipastikan sama ada melalui ahli keluarga wanita berkenaan atau menerusi pejabat Kedutaan Malaysia di India.

Dalam masa sama, Sultan Ibrahim menasihatkan semua pihak agar tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pra matang dalam berita yang disebarkan.

"Wanita itu sedang melalui proses penghakiman melalui platform media, sedangkan beliau tidak pun setakat ini mengisytiharkan ingin keluar dari agama Islam.

"Jika kita tergesa-gesa dalam tindakan kita menghukum beliau, maka kita akan membina tembok yang tinggi untuk beliau kembali semula ke negara kita dan menjarakkan lagi jurang antara keluarganya di Malaysia dan di India.

"Saya juga ingin menitipkan nasihat buat wanita yang berasal dari negeri Johor bahawa dalam membuat keputusan, pastikan tindakan itu direstui oleh ibu bapa anda dan tidak melanggar norma-norma yang ditetapkan agama Islam," titah baginda lagi.

Sultan Ibrahim juga yakin Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Mufti Negeri Johor akan memberikan semua pertolongan yang diperlukan kepada wanita itu bagi mengekalkan akidahnya dalam lingkungan syariat Islam.

"Apa jua berita yang kita terima berkaitan dengan silaturahim sesama umat Islam perlu diteliti tanpa berprasangka buruk.  Kita perlu berlapang dada dan bersangka baik.

"Kita juga perlu dan mengambil tindakan meneliti berita berkaitan dari sumber yang pasti dan tepat," titah baginda.

 
Sumber Facebook officialsultanibrahim

Pada Ahad, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan akan memanggil seorang wanita warganegara Malaysia yang dilaporkan berkahwin dengan seorang pemain hoki India baru-baru ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung status agama mereka.

Menurut Marzuk, penjelasan sebenar akan diperoleh melalui pengakuan yang akan dibuat wanita itu setelah tiba di Malaysia.

BACA: Isu status agama: Wanita kahwini pemain hoki India akan dipanggil - Ahmad Marzuk