JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menzahirkan kekecewaan terhadap kadar vaksinasi di negeri ini yang dilihat masih perlahan.

Baginda bertitah, setakat ini hanya 10 peratus daripada 3.78 juta populasi di negeri ini telah menerima suntikan vaksin menerusi Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Baginda turut menyeru kerajaan pusat untuk mempertingkatkan lagi bekalan serta kadar vaksinasi termasuk di Johor.

"Kadar pemberian vaksin masih rendah dan perlu dipertingkatkan dengan segera. Saya menyeru kerajaan pusat supaya mempertingkatkan jumlah bekalan vaksin kepada Johor.

Jentera kerajaan negeri bersedia untuk memberikan 50,000 suntikan sehari dengan sasaran memvaksinasikan 50 peratus populasi Johor dalam tempoh dua bulan," titah Sultan Ibrahim menerusi Facebook rasmi baginda hari ini.


Baginda bertitah demikian selepas menerima menghadap Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani, Penasihat Undang-Undang Johor Amir Nasruddin dan Pengarah Kesihatan Johor Datuk Dr Aman Rabu hari ini.

Sultan Ibrahim pada masa sama turut menzahirkan kebimbangan berdasarkan maklumat yang dipersembahkan mendapati jangkitan di tempat kerja, kawasan perindustrian serta pembinaan menjadi penyumbang utama kepada bilangan kes setiap hari.

Baginda bertitah keadaan menjadi lebih parah apabila 69 peratus kes baharu adalah jangkitan sporadik dalam masyarakat yang tidak dapat dipastikan puncanya.

"Langkah penyelesaian yang terbaik hanyalah dengan pemberian vaksin kepada semua rakyat dengan cepat dan menyeluruh. Ini telah terbukti berjaya di banyak negara yang telah melaksanakannya," titah baginda.

Sementara itu, menerusi info grafik yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Johor menunjukkan setakat 20 Jun, jumlah kumulatif dos vaksin yang telah diberikan kepada rakyat di negeri ini membabitkan 370,186 dos pertama dan 160,007 dos kedua.

-- BERNAMA