MALAYSIA
Sultan Mizan rasmi CEFORE, pacu industri tenaga mampan negara

Sultan Mizan berkenan meninjau tapak projek Pusat Tenaga Boleh Diperbaharui Luar Persisir (CEFORE) pada Perasmian CEFORE di Pantai Tok Jembal, hari ini. - Foto Bernama
KUALA NERUS: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan merasmikan Pusat Tenaga Boleh Diperbaharui di Luar Pesisir (CEFORE) di Pantai Tok Jembal di sini, hasil kerjasama PETRONAS dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Ringkasan AI
- Sultan Mizan rasmikan Pusat Tenaga Boleh Diperbaharui Luar Pesisir (CEFORE) di Pantai Tok Jembal, hasil kerjasama PETRONAS dan UMT, yang menggabungkan tenaga angin, solar dan ombak.
- CEFORE bekalkan tenaga kepada komuniti nelayan termasuk mesin penjana ais, dengan kapasiti storan 1.3 MWh yang mampu menampung kira-kira 100 rumah.
- Projek ini buka peluang akademik dan sokong kelestarian, termasuk pengambilan 40 pelajar pertama Program Sarjana Muda Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui di UMT, serta bukti komitmen PETRONAS terhadap inovasi tenaga hijau.
Mohd Zamri ketika ditemui pemberita berkata lebih 100 komuniti nelayan sekitar Tok Jembal dan Kubang Badak meraih manfaat daripada CEFORE, yang merupakan model bersepadu pertama di Malaysia dengan menggabungkan tenaga angin, solar dan ombak untuk menjana elektrik.
"Semua tenaga yang dihasilkan disalurkan ke sistem storan berkapasiti 1.3 megawatt jam, cukup untuk menampung kira-kira 100 buah rumah," katanya.
Mohd Zamri berkata sejak mula beroperasi pada Jun lepas, CEFORE berjaya membekalkan tenaga elektrik kepada mesin penjana ais berkapasiti 800 hingga 1,000 kilogram sehari bagi kegunaan nelayan menyimpan hasil tangkapan mereka.
Beliau berkata projek yang bermula pada 2023 itu membuktikan kejayaan usahasama UMT dan Petronas dalam melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.
Selain itu, katanya CEFORE turut membuka peluang akademik apabila UMT bakal menerima kemasukan 40 pelajar pertama bagi Program Sarjana Muda Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui pada Oktober ini.
"Pihak universiti berharap CEFORE dapat berkembang dalam tempoh satu atau dua tahun lagi untuk memanfaatkan lebih ramai komuniti termasuk mereka dalam industri luar pesisir," katanya.
Sementara itu, Mohd Bakke berkata pengoperasian pusat tersebut mencerminkan komitmen Petronas terhadap pembangunan mampan demi kelestarian negara.
"Projek berwawasan ini berfungsi sebagai pembuktian konsep tenaga boleh diperbaharui campuran dan hab penyelidikan. Ia menandakan langkah besar ke arah masa depan tenaga negara, menyerlahkan komitmen Malaysia dan Terengganu terhadap inovasi serta kelestarian.
"Dengan memanfaatkan kekayaan sumber Terengganu, kami membangunkan satu daripada penyelesaian luar pesisir tenaga boleh diperbaharui secara berterusan, sekali gus memperlihatkan keupayaan Malaysia menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami