KUALA KANGSAR: Sultan Nazrin berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak kepada 213 penerima bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-67 di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Penerima pada hari ini merupakan sebahagian daripada 238 penerima yang dikurniakan darjah kebesaran dan pingat bersempena dengan hari keputeraan baginda yang disambut pada 3 Nov lepas.

Mendahului senarai penerima hari ini ialah Ketua Pengarah Sel Kesihatan Markas Tentera Darat, Angkatan Tentera Malaysia Brig Jen Dr Mohd Arshil Moideen yang merupakan antara 18 penerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM).

Penerima PCM yang lain antaranya Pengerusi Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) Prof Dr Rofina Yasmin Othman, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.

Sultan Nazrin turut mengurniakan Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) kepada 32 penerima termasuk Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak Prof Madya Dr Nur Hisham Ibrahim dan Ketua Polis Daerah Taiping ACP Razlam Ab Hamid.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Juna Yussof pula antara 20 penerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM). Selain itu, sebanyak 59 individu menerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT) dan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) dikurniakan kepada 11 penerima.

Sementara itu, atlet terjun dari Perak yang memenangi pingat gangsa pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China baru-baru ini Muhammad Shafiq Puteh dan atlet Muay Thai negara Mohd Rifdean Masdor dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) bersama 29 lagi penerima.

Dalam pada itu, jurulatih Muay Thai negara Bernad Raden pula merupakan antara 42 penerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP).

-- BERNAMA