KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan meyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Strategik Universiti Malaya 2026-2030 di Universiti Malaya (UM) hari ini.
Pelan strategik itu merupakan pelan hala tuju lima tahun yang menandakan fasa baharu perjalanan UM ke arah membina masa depan lebih berdaya tahan, progresif dan berimpak tinggi kepada masyarakat, negara serta dunia.
Advertisement
Berteraskan aspirasi “A resilient future shaped by learning, research, and healthcare; strengthened through digital excellence, sustainability, and a commitment to global impact”, pelan itu memperjelas komitmen UM untuk terus memperkukuh kecemerlangan institusi melalui pendekatan yang lebih holistik, tangkas dan berpandangan jauh.
Keberangkatan tiba Sultan Nazrin yang juga Canselor UM di Dewan Tunku Canselor universiti itu disambut Naib Canselor UM Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.
Hadir sama Pro-Canselor UM Tan Sri Datuk Zainun Ali dan Pengerusi Lembaga Pengarah UM Tan Sri Zarinah Anwar.
Noor Azuan dalam sembah ucapan dan sesi pembentangan berkata pelan strategik itu dibangunkan bagi memastikan UM kekal relevan dalam mendepani perubahan landskap pendidikan tinggi, kemajuan teknologi, cabaran kesihatan global, tuntutan kelestarian serta keperluan negara yang semakin kompleks.
“Pelan Strategik UM telah diperkukuh melalui proses scenario planning yang mendalam bagi memeta landskap masa hadapan menjelang 2030.
“Pemetaan turut dijajarkan secara tuntas dengan agenda Ekonomi MADANI dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 bagi memastikan hala tuju UM seirama dengan aspirasi negara,” katanya.
Beliau berkata proses membangunkan pelan strategik itu merupakan usaha kolektif hasil komitmen lebih 110 warga UM termasuk Lembaga Pengarah dan pengurusan universiti.
Beliau berkata melalui fasa intensif selama sembilan bulan merangkumi libat urus dengan pemain industri, alumni, staf dan penuntut, pelan itu berjaya menterjemahkan aspirasi bersama-sama kepada sebuah dokumen komprehensif yang anticipatory serta berpaksikan masa hadapan.
-- BERNAMA