Skip to main content

Malaysia

Sultan Pahang, Tengku Ampuan nasihat rakyat waspada ketika cuaca panas dan jerebu

KDPB SULTAN PAHANG, KDPB TENGKU AMPUAN PAHANG NASIHAT RAKYAT BERWASPADA KETIKA CUACA PANAS DAN BERJEREBU  KUANTAN, 6 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang menasihati rakyat supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan risiko kesihatan akibat cuaca panas serta jerebu yang sedang melanda. Kredit: FB Kesultanan Pahang
Baginda berdua mengingatkan orang ramai supaya minum air secukupnya, mengurangkan aktiviti fizikal berat di kawasan terbuka terutama ketika cuaca paling panas. - Gambar Facebook Kesultanan Pahang.
Advertisement

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menasihatkan rakyat supaya berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan risiko kesihatan akibat cuaca panas serta jerebu yang sedang melanda.

Baginda berdua mengingatkan orang ramai supaya minum air secukupnya, mengurangkan aktiviti fizikal berat di kawasan terbuka terutama ketika cuaca paling panas, memakai pakaian ringan dan longgar serta berehat di tempat teduh atau kawasan yang sejuk.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya peka terhadap tanda awal masalah berkaitan haba seperti sakit kepala, pening, loya, kekejangan otot, keletihan melampau dan kekeliruan, serta mendapatkan rawatan segera sekiranya keadaan menjadi serius,” titah baginda berdua menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook Kesultanan Pahang. 

Nasihat tersebut dizahirkan susulan kejadian seorang penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM), Allahyarham Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, yang meninggal dunia ketika menyertai Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) di Kampus UiTM Jengka, Maran.

Dalam kejadian itu, lapan pelajar lain turut dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menerusi hantaran sama, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta berharap mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.

Baginda berdua turut mendoakan agar penuntut yang masih menerima rawatan diberikan kesembuhan dan dipermudah segala urusan. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement