Ringkasan AI
- Datuk Seri Fatimah Abdullah menang tanpa bertanding kerusi DUN Dalat, menandakan mandat keenam beliau sebagai wakil rakyat kawasan itu.
- Beliau memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur, ekonomi, pendidikan dan sosial untuk manfaat penduduk Dalat.
- Fatimah mengesahkan PRN Sarawak ke-13 adalah penyertaan terakhirnya dan menekankan pentingnya menyediakan pelapis kepimpinan masa depan.
DALAT: Air mata yang mengalir ketika namanya diumumkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat hari ini menggambarkan betapa besar makna mandat keenam itu buat Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Meskipun bukan pertama kali melalui proses pilihan raya, pengalaman hampir 25 tahun sebagai wakil rakyat tidak menghilangkan debaran beliau yang mengakui hilang selera makan ketika menantikan tamatnya proses penamaan calon pada 10 pagi.
Fatimah berkata beliau bersyukur kepada Allah SWT kerana proses penamaan calon berjalan lancar, sekali gus membolehkannya meneruskan amanah kepada penduduk Dalat bagi penggal seterusnya.
Beliau berkata keputusan untuk kembali mempertahankan kerusi itu bukan semata-mata kerana kedudukan sebagai wakil rakyat, sebaliknya didorong keinginan memastikan projek pembangunan yang masih dalam perancangan dan pelaksanaan dapat disempurnakan.
“Walaupun pada awalnya saya katakan mahu bersara, apabila melihat masih banyak pembangunan, terutama projek yang sedang dalam proses perancangan dan pelaksanaan, saya mahu memastikan semuanya dapat dilaksanakan dan memberi manfaat kepada penduduk Dalat,” katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon di Kompleks Kebajikan Dalat di sini, hari ini.
Antara keutamaan beliau ialah memastikan projek jalan raya yang menghubungkan Dalat, khususnya dari Sungai Kut Muara ke Sibu, dapat diteruskan kerana dijangka memendekkan perjalanan antara kedua-dua kawasan kepada kira-kira sejam apabila siap.
Menurutnya, kemudahan itu bukan sahaja meningkatkan hubungan pengangkutan, malah berpotensi merancakkan kegiatan ekonomi, menarik pelaburan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Beliau turut mahu memastikan beberapa projek utama seperti Balai Bomba, Balai Polis, Kompleks Lembaga Sagu dan Nipah (SNDB), Anjung Usahawan serta pembangunan tapak Kaul di Oya dapat diselesaikan.
Selain itu, Fatimah berkata usaha menaik taraf jalan Oya-Dalat daripada piawaian R2 kepada R3 juga perlu diberi perhatian bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna.
Dalam pada itu, beliau mengakui beberapa perkara yang dipaparkan di media sosial menjelang penamaan calon sebelum ini turut menyentuh perasaannya, namun memilih untuk memaafkan dan mengajak semua pihak kembali bersatu.
“Saya ambil iktibar daripada perkara itu. Biduk berlalu, kiambang bertaut. Kita sama-sama orang Dalat dan kerjasama untuk membangunkan kawasan ini jauh lebih baik daripada berdendam serta berpecah-belah,” katanya.
Fatimah turut menegaskan pembangunan Dalat perlu dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi aspek infrastruktur, pendidikan, ekonomi dan sosial.
Beliau berkata pengalaman sebagai bekas pendidik turut mendorongnya memberi perhatian kepada pembangunan pendidikan, termasuk bantuan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi serta inisiatif tuisyen di peringkat komuniti.
Fatimah yang mula mewakili Dalat pada 2001 turut mengesahkan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 merupakan penyertaan terakhirnya sebagai calon.
Bagaimanapun, katanya, satu lagi tanggungjawab penting ialah menyediakan pelapis yang berpotensi supaya mereka mendapat pendedahan dan bimbingan untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat pada masa hadapan. - TVS