KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah hari ini berkenan mengurniakan sumbangan kepada fakir miskin dan pelajar sekolah sempena Aidilfitri di Istana Syarqiyyah, di sini.

Keberangkatan baginda berdua yang diiringi Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra' disambut Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman.

Sebanyak 200 fakir miskin masing-masing 100 lelaki dan 100 wanita dari seluruh Terengganu terpilih menerima bantuan wang tunai RM500 dan hamper bantuan asas bernilai RM250 setiap orang.

Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan bantuan wang tunai RM250 setiap seorang kepada 240 pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah daripada keluarga miskin serta 30 pelajar masing-masing dari tiga madrasah dan pusat pengajian Islam di negeri itu.

Buat julung kalinya, 30 veteran Angkatan Tentera Malaysia, 15 penggiat seni dan sasterawan serta 15 pesara institusi agama Islam yang mempunyai tauliah untuk mengajar di masjid dan surau di Terengganu turut terpilih menerima bantuan berkenaan.

Keseluruhan bantuan oleh Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) itu bernilai RM277,500.

Pada acara sama, Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) turut menyampaikan bantuan kepada 500 fakir miskin wanita bagi persediaan menyambut Aidilfitri.

-- BERNAMA