KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Bahawa Program Subsidi Bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan kembali bermula hari ini secara berperingkat.

Pengumuman itu dimuat naik Anwar di laman media sosial miliknya pada Isnin.

Menurut Anwar, program SARA telah ditambah baik, dengan peruntukan melonjak lebih lima kali ganda kepada RM700 juta, berbanding perbelanjaan RM130 juta pada tahun lepas.

“Peruntukan yang lebih besar ini membolehkan kerajaan menambah jumlah penerima SARA kepada 700,000, berbanding 210,000 pada tahun lalu.

“Jumlah bantuan juga dinaikkan sehingga RM1,200, seganda jumlah daripada tahun lepas,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, penambahbaikan program SARA ini merupakan satu langkah awal untuk menangani kesenjangan kekayaan serta membina sebuah masyarakat yang inklusif seperti didambakan dalam kerangka Ekonomi MADANI.

Kata Anwar lagi, kerajaan akan mengumum lebih banyak penambahbaikan kepada bantuan lain bagi mengangkat ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan.