Skip to main content

Malaysia

Presiden Serbia bubar Parlimen, pilihan raya awal 25 Oktober

Serbian President Aleksandar Vucic arrives for the International Space Summit dinner at the Elysee Palace in Paris, France, September 9, 2026. REUTERS/Sarah Meyssonnier
Vucic menggesa pihak lawan politik supaya melibatkan diri dalam dialog dan perbincangan sambil menegaskan bahawa langkah itu sentiasa membantu meredakan keadaan. - REUTERS
Advertisement

ISTANBUL: Presiden Serbia Aleksandar Vucic pada Rabu menandatangani dekri membubarkan Perhimpunan Kebangsaan, dengan pilihan raya Parlimen awal dijadualkan pada 25 Oktober, lapor Anadolu Ajansi yang memetik penyiar RTS.

Dekri itu menyatakan Vucic membubarkan Parlimen yang dipilih pada 17 Dis 2023, susulan keputusan yang dibuat berdasarkan cadangan kerajaan pada 7 Sept.

Vucic turut menandatangani keputusan menetapkan pilihan raya Parlimen pada 25 Okt.

Presiden itu berkata tempoh satu setengah tahun lepas menyaksikan pergolakan ketara dalam politik domestik.

“Adalah satu kesilapan untuk membuat kesimpulan bahawa keadaan ini semata-mata berpunca daripada konflik antara parti politik atau aktor politik di Serbia. 

"Bukan sekadar terdapat unsur campur tangan, malah campur tangan ketara kuasa asing, selain kita turut menyaksikan kekacauan, rusuhan dan konflik serta lebih daripada itu, perpecahan dalam masyarakat,” katanya.

Vucic menggesa pihak lawan politik supaya melibatkan diri dalam dialog dan perbincangan sambil menegaskan bahawa langkah itu sentiasa membantu meredakan keadaan.

“Pertukaran pandangan dan hujah sentiasa membantu dalam menyelesaikan konflik,” katanya.

“Tidak pernah ada jawapan dan perkara itu boleh difahami; adalah mustahil untuk berbincang dengan seseorang yang menjadi sasaran kempen yang menafikan sifat kemanusiaannya dan yang anda katakan bukan manusia.

“Itulah sebabnya kita memerlukan keputusan pilihan raya yang akan menentukan dengan jelas dan menunjukkan kehendak rakyat mengenai hala tuju serta jalan yang akan dilalui Serbia,” kata Vucic.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement