OSLO: Puluhan kerabat diraja dan ketua negara dari seluruh Eropah menghadiri upacara pengebumian Raja Norway, Harald V, di Oslo pada Rabu, bagi memberikan penghormatan terakhir kepada pemerintah yang memegang takhta selama 35 tahun itu.
Ribuan rakyat berhimpun di sepanjang laluan perarakan dari Istana Diraja ke Katedral Oslo, hampir dua minggu selepas baginda mangkat pada usia 89 tahun.
Antara kenamaan yang hadir ialah Putera William mewakili Raja Britain, Charles III, selain tiga raja negara Nordic serta wakil keluarga diraja dari Sweden, Denmark, Belgium, Sepanyol, Monaco, Jordan dan Jepun.
Turut hadir Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier serta beberapa pemimpin kerajaan asing.
Hari pengebumian dimulakan dengan istiadat ketenteraan di Kubu Akershus sebelum keranda mendiang dibawa dalam perarakan ke katedral.
Raja baharu Norway, Haakon VIII, bersama adindanya Puteri Martha Louise serta anak-anak baginda berjalan mengiringi keranda tersebut.
Semasa upacara, Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store, menyifatkan Harald sebagai seorang raja yang berjaya mengimbangi kewibawaan institusi diraja dengan sikap sederhana dan dekat dengan rakyat.
Balunya, Ratu Sonja, yang kelihatan sebak sepanjang majlis, meletakkan sekuntum mawar merah di atas keranda mendiang sebagai penghormatan terakhir.
Selepas upacara keagamaan, empat pesawat pejuang F-35 melakukan penerbangan formasi 'missing man' sebagai penghormatan kepada mendiang raja sebelum keranda dibawa ke Kapel Istana di Kubu Akershus untuk pengebumian secara tertutup.
Harald disemadikan bersama beberapa anggota keluarga diraja Norway lain, termasuk ayahandanya Raja Olav V dan datuknya Raja Haakon VII.
Sejurus tamat tempoh berkabung negara selama 13 hari, bendera Norway yang sebelum ini dikibarkan separuh tiang dinaikkan semula sepenuhnya.
Sebagai tanda penghargaan atas sokongan rakyat sejak kemangkatan baginda pada 28 Ogos lalu, Raja Haakon VIII bersama anggota keluarga diraja tampil di balkoni istana untuk menyapa puluhan ribu rakyat yang berhimpun di luar kawasan istana.