NIBONG TEBAL: Polis sedang menyiasat kes penemuan mayat di sebuah rumah di Taman Seri Bestari di sini pada Rabu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan DSP Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata identiti mangsa masih dalam proses pengesahan dan bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan punca kematian.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana boleh menjejaskan siasatan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mangsa dipercayai berusia lingkungan 50-an dan mayatnya ditemukan dengan tangan serta kaki terikat di dalam tangki kumbahan di belakang rumah berkenaan.
Kes dipercayai mempunyai kaitan dengan laporan kehilangan seorang lelaki tempatan pada 7 Sept lepas.
-- BERNAMA