KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menggambarkan sumbangan elaun penjawat awam sebagai cerminan sokongan terhadap perjuangan petugas barisan hadapan dalam memerangi pandemik COVID-19.

Justeru itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghargai dan menyambut baik solidariti penjawat awam yang memberi sumbangan kepada negara melalui potongan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA).

Katanya, ini membuktikan kebersamaan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab bersama kerajaan dalam memerangi pandemik COVID-19.

"Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada semua kakitangan awam yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang lebih setahun menguruskan pandemik COVID-19 ini.

"Saya doakan agar semua penjawat awam di seluruh negara, tidak kira apa pun peranan anda dalam perjuangan kita memerangi COVID-19 ini akan terus diberkati Allah SWT.

"Semoga kita semua dan Malaysia dilindungi daripada ancaman wabak ini. Insya-Allah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi pengurusan tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56 serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati oleh penjawat awam pada masa kini akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana dalam tempoh tiga bulan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali  berkata, sumbangan daripada lebih 800,000 penjawat awam itu tidak termasuk petugas barisan hadapan serta penjawat awam Gred 1 hingga Gred 28 dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta.

Pada Isnin, Perdana Menteri mengumumkan sebagai tanda sokongan, barisan jemaah Menteri bersetuju untuk tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun ini.

Perkara itu diumumkan ketika pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+).