SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa sumber wang yang didakwa diberikan kepada Datuk Seri  Ahmad Zahid Hamidi oleh syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), tidak perlu dibuktikan sama ada wang itu turun dari 'langit ketujuh' atau sebagainya.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata pengesahan sumber wang itu bukan elemen yang perlu dibuktikan pendakwaan, sebaliknya mahkamah perlu menilai bukti dikemukakan bahawa Ahmad Zahid ada meminta wang itu dan beliau tiada hak untuk menggunakan kedudukannya sebagai menteri bagi mendapatkan wang berkenaan.

Raja Rozela berkata saksi-saksi utama pendakwaan iaitu tiga bekas Pengarah UKSB Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani serta David Tan Siong Sun telah mengaku sumber kewangan itu datang daripada hasil perjanjian UKSB dengan syarikat di Hong Kong dan Labuan.

"Saksi-saksi kami (Harry Lee, Wan Quoris Shah dan David Tan) tidak berbohong dan mereka telah mengaku yang UKSB tiada wang, maka perlu bantuan daripada rakan niaga mereka di Hong Kong.

"Kami telah tunjukkan ada perjanjian dengan rakan-rakan Hong Kong mereka dan ia disahkan oleh David Tan dan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) V. Mahendran.

"Itu bukan perkara yang perlu dipertimbangkan dengan serius, sama ada wang itu turun dari langit ketujuh atau tidak," kata Raja Rozela dalam hujahannya di akhir kes pendakwaan.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang diwakili peguam Hamidi Mohd Noh, ketika berhujah mempersoal akan sumber kewangan UKSB yang diberikan kepada presiden UMNO itu berikutan tiada wakil syarikat Hong Kong dipanggil untuk memberi keterangan.

"Saksi pendakwaan ke-15, 16 dan 17 (Harry Lee, Wan Quoris Shah dan David Tan) kata wang diberi bukan daripada hasil UKSB. Jadi wang dari mana? Jika sumber wang dari syarikat di Hong Kong, perlu panggil saksi dari negara itu untuk sahkan perkara berkenaan termasuk jumlahnya.

"Pengarah syarikat itu perlu dipanggil beri keterangan. Mereka perlu membuktikan wang itu wujud atau tidak, ia perkara asas. Yang ada sekarang hanya keterangan tiga saksi pendakwaan berkenaan.

"Jika sumber wang tidak dibuktikan bagaimana mahu dikatakan wang itu wujud. Dalam kes ini tidak ada petunjuk yang mengatakan wang itu ada. Tiada kenyataan dari Hong Kong," katanya.

Sebelum ini, pihak pendakwaan telah menawarkan 27 orang saksi kepada pihak pembelaan termasuk beberapa pengarah syarikat Hong Kong antaranya pengarah Maintech System HK Limited, Chong Kian Leong @ Raymond dan Pengarah VisaMalaysia Limited, Fong Mee Yee.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa menetapkan 23 Sept ini keputusan sama ada Ahmad Zahid akan diperintah membela diri atas 40 pertuduhan rasuah atau dilepaskan.

Pasukan pendakwaan diwakili Raja Rozela, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B. Thavani manakala pembelaan terdiri daripada peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi.

Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

-- BERNAMA