Sungai Klang disasarkan untuk menjadi antara sumber bekalan air bagi kegunaan rakyat Selangor pada masa hadapan, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata buat masa ini, sumber air bagi kegunaan rakyat di negeri ini hanya dibekalkan daripada Sungai Selangor dan Sungai Langat.

"Kerajaan negeri membuat perancangan ini selepas kita berjaya meningkatkan kualiti air Sungai Klang daripada tahap empat ke tahap tiga menerusi Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG). Jumlah sampah yang dikutip di sungai ini juga dapat dikurangkan kepada empat tan berbanding 10 tan sehari.

"Rancangan untuk memanfaatkan Sungai Klang sebagai sumber air ini juga telah kita bawa ke peringkat Kementerian Alam Sekitar dan Air. Sebarang usaha termasuk pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2021," katanya pada sidang media sempena sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Selangor di sini, hari ini.

Tambah Amirudin, jika rancangan berkenaan berjaya direalisasikan, Sungai Klang dijangka mampu membekalkan sebanyak 1,000 juta liter air sehari (MLD) bagi kegunaan penduduk di negeri ini.

Mengulas mengenai sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Selangor, Amirudin berkata pihaknya akan melancarkan inisiatif 'Friends of River' (FoR) di kira-kira 20 lokasi sekitar negeri ini.

Katanya, FoR diwujudkan di setiap sungai di negeri ini bagi tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan oleh komuniti setempat, badan bukan kerajaan dan pemimpin tempatan.

Pada masa sama, Amirudin turut memberitahu, sebanyak lima insiden pencemaran sungai di Selangor berjaya dibendung menerusi pelaksanaan Op Sumber Air.

Lima insiden berkenaan ialah tumpahan minyak berhampiran LRA Sungai Selangor, LRA Labohan Dagang, LRA Bukit Tampoi, LRA Sungai Labu dan LRA Sungai Salak Tinggi yang berlaku pada 27 April, 4 Mei selain 4, 15 dan 18 Jun lepas.

Katanya, jika insiden itu tidak ditangani segera, ia boleh menyebabkan LRA utama terpaksa dihenti tugas untuk tujuan pembersihan.

-- BERNAMA