PERSAINGAN Persaingan sengit antara enam finalis program Big Stage X Rocketfuel akhirnya berakhir apabila bintang, Hussain dinobatkan sebagai juara program berkenaan pada malam kemuncak yang berlangsung di Auditorium MBSA, malam tadi.
Kemenangan tersebut menyaksikan Hussain menewaskan lima lagi finalis lain iaitu Adam Nazmie, Ranisha, Danny, Yad-Z dan Danial Kifli.
“Terima kasih kepada semua peminat yang dah undi dan sokong saya dari Talk To My Manager lagi.
“Abah, saya berjaya bah,” luah Hussain.
Pada konsert final itu tadi, Hussain telah mendendangkan lagu Seniman Menangis dendangan asal Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah.
Berbeza dengan konsert-konsert sebelum ini, keputusan juara Big Stage X Rocketfuel pada malam ini tidak ditentukan sepenuhnya berdasarkan markah juri.
Sebaliknya, keputusan turut mengambil kira undian penonton bagi menentukan kedudukan akhir keenam-enam finalis.
Hasil kemenangan tersebut, Hussain telah berjaya membawa pulang wang tunai RM30,000, sebuah single terbitan Rocketfuel Entertainment, selain peruntukan pengurusan kerjaya dan pemasaran single bernilai RM100,000 tajaan Rocketfuel Entertainment serta sebuah trofi.
Sementara itu, tempat kedua disandang oleh Adam Nazmie yang membawa pulang wang tunai RM20,000, sebuah single terbitan Rocketfuel Entertainment, peruntukan pengurusan kerjaya dan pemasaran single bernilai RM50,000 tajaan Rocketfuel Entertainment serta sebuah trofi.
Manakala Ranisha berada di tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM10,000, sebuah single terbitan Rocketfuel Entertainment, peruntukan pengurusan kerjaya dan pemasaran single bernilai RM50,000 tajaan Rocketfuel Entertainment serta sebuah trofi.
Dalam pada itu, Danny memenangi tempat keempat, disusuli Yad-Z di tempat kelima dan Danial Kifli di tempat keenam dengan masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000 dan RM3,000 berserta trofi.
- Artikel asal disiarkan di Gempak.com