DAKWAAN seorang pelancong dari New Zealand berkenaan pemakaian kru kabin sebuah syarikat penerbangan antarabangsa yang dikatakan mencolok mata, diragui dan dipertikai.

Portal dari negara tersebut Whaleoil.co.nz, mendakwa terdapat beberapa ketidakpastian terhadap surat aduan yang dimuat naik ke Facebook oleh individu bernama Dr June Robertson itu.

“Pertama, kesalahan penggunaan ayat dalam surat tersebut seperti bukan datang daripada seorang doktor yang mempunyai ijazah dalam perubatan.

“Kedua, terdapat satu komen di laman Facebook yang menunjukkan bukan kami sahaja yang mencurigai keaslian Dr. June Robertson, tetapi pengguna Facebook juga.

“Ketiga, terdapat satu laman web yang menyatakan dakwaan tersebut mendapat pelbagai reaksi oleh rakyat Malaysia dan antaranya adalah penggunaan bahasa Inggeris yang lemah.

“Keempat, alamat yang disertakan dalam surat tersebut adalah tidak sepadan dan ia menunjukkan alamat orang lain iaitu, James Robertson yang merupakan jururawat di Capital & Coast Health.

“Terdapat profil June Robertson di LinkedIn yang tiada nama dan tiada gambar. Ia jelas menunjukkan tiada sebarang informasi berkaitan June di situ,” lapor portal itu dalam satu artikel baru-baru ini.

Terdahulu, individu bernama 'Dr. June Robertson' dari Wellington mendakwa sering datang ke Malaysia atas urusan kerja dan sudah menganggap negara ini sebagai negara keduanya.

Namun dalam surat yang dialamatkan kepada seorang Senator itu, Robertson berkata satu insiden yang berlaku baru-baru ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), membuatkan dia terkejut dan berasakan perlu memberi teguran, lapor portal berita News.com.au.

BACA: Doktor ini tegur pramugari 'belanja' seluar dalam dan 'lurah' di KLIA