Saya merupakan salah seorang ahli kariah di salah sebuah surau di Ara Damansara. Saya sempat mendengar khutbah yang tuan sampaikan sebelum solat Jumaat hari ini.
Tajuk khutbah yang tuan lafazkan di mimbar: Pencegahan Demi Kemaslahatan.
Pada awalnya, saya keliru juga. Namun kekeliruan itu segera terpadam apabila tuan memulakan khutbah mengenai penularan kes difteria dan demam campak dalam kalangan bayi di Malaysia.
Maka fahamlah saya, khutbah minggu ini ingin mengingatkan para jemaah mengenai kepentingan vaksin sebagai tindakan pencegahan.
Hati saya gembira kerana Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut mengambil serius tentang isu ini dan memainkan peranan untuk menyebarkan kefahaman dalam kalangan umat Islam di Malaysia.
Namun selepas tuan menerangkan prinsip pencegahan lebih baik berbanding mengubati yang ditekankan dalam Islam, tuan tiba-tiba bercerita tentang rumah terbuka.
Sekali lagi saya keliru.
Tuan menceritakan tentang rumah terbuka yang kerap diadakan dalam bulan Syawal dan ahli jemaah perlu berjaga-jaga dengan makanan yang dihidangkan.
Ini nasihat yang baik kerana makanan juga menentukan kesihatan. Namun saya tertanya-tanya, ke manakah perginya isu difteria dan vaksin yang disingkap pada awal khutbah?
Saya benar-benar perhatikan raut wajah dan bahasa badan tuan di mimbar.
Ketika tuan bercerita tentang rumah terbuka dan pemakanan, tidak sekali pun tuan mengerling teks khutbah yang dicetak.
Saya fikir, barangkali tuan benar-benar menghadam khutbah yang disediakan oleh JAIS demi penyampaian berkesan di hadapan ahli jemaah.
Tiba-tiba khutbah tuan kembali menerangkan tentang pendapat Dr Wahbah Zuhaili bahawa sesuatu yang haram hukumnya menjadi harus dalam keadaat darurat.
Tuan juga bercerita tentang fatwa yang dikeluarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang mengharuskan pengunaan vaksin pada tahun 1989.
Anehnya, dalam dua huraian di atas, tuan tidak menyebut langsung perkataan vaksin. Bayangkan sahaja kekeliruan ahli jemaah ketika itu.
Pendapat Dr Wahbah ini tentang apa? Fatwa keluaran Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ini berkenaan isu apa?
Sehingga hujung khutbah, tuan tidak menyentuh langsung tentang vaksin.
Saya cuba memadam curiga dan bersangka baik terhadap pihak tuan namun firasat saya kuat mengatakan ada sesuatu yang tidak kena.
Selesai solat Jumaat, saya layari laman web JAIS untuk membaca teks khutbah minggu ini.
Ternyata tanggapan saya benar.
Tuan menafikan isi khutbah tersebut sejak baris pertama. Tajuk sebenar khutbah itu, Vaksin: Pencegahan Demi Keselamatan.
Tuan sengaja memadamkan perkataan vaksin. Saya benar-benar kesal dengan tindakan tersebut dan terus membaca.
Berikut merupakan beberapa petikan khutbah yang tuan gagal sampaikan:
“Penggunaan vaksin dalam imunisasi merupakan pencegahan yang boleh mengelakkan penyakit berjangkit seperti campak, tibi, batuk kokol, difteria, tetanus dan polio.”
“Program imunisasi melalui vaksin yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bertepatan dengan tuntutan syariat Islam yang meletakkan penjagaan nyawa (hifz an-nafs) ke atas umatnya sebagai matlamat utama.”
“Rujuklah kepada mereka yang ahli dalam bidang berkenaan. Ibubapa pula tidak perlu gusar dan ragu-ragu kerana perkara ini telah dikaji dan dibincang dengan teliti oleh golongan pakar dan profesional dalam bidang perubatan dan hukum syara’.”
“Tindakan ibu bapa yang sengaja menolak pemberian vaksin sebagai langkah pencegahan, telah meletakkan anak-anak dalam situasi berisiko tinggi yang boleh membawa kepada kemudharatan.”
“Oleh kerana pengambilan vaksin ini diharuskan dalam Islam, maka ibu bapa perlu mengambil vaksin untuk anak-anak sebagai langkah pencegahan daripada penyakit berjangkit dan komplikasi.”
Tuan khatib, pada hemat saya ini satu perbuatan khianat. Teks khutbah yang disediakan JAIS jelas sekali mahu menyebarkan kesedaran dan mendidik umat Islam mengenai vaksin.
Tetapi mengapa tuan meninggalkan bahagian ini? Apa niat tuan?
Saya tidak boleh membaca fikiran namun tindakan tuan mirip sekali dengan golongan anti-vaksin yang bukan sahaja membahayakan nyawa kanak-kanak di negara ini, malah bersungguh-sungguh pula menyebarkan ‘fahaman’ mereka kepada orang lain.
Dan tuan melakukannya dari mimbar, dalam rumah Yang Maha Esa.
** Penulis merupakan wartawan meja media sosial di Astro AWANI dan baharu sahaja menimang cahaya mata pertama