ALOR GAJAH: Lelaki yang disyaki mencuri beg tangan milik seorang penuntut universiti ketika solat Asar di Masjid Ar-Rasyidin, Kampung Jelatang di sini, Sabtu lalu direman empat hari bermula Selasa.
Perintah reman terhadap penganggur berusia 28 tahun sehingga 12 Jun itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen, Kamarul Aris Kamalluddin di Kompleks Mahkamah Alor Gajah.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Sebelum ini tular video berdurasi 23 saat memaparkan seorang lelaki berseluar pendek melarikan beg mangsa.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian berlaku sekitar jam 4.45 petang di ruang solat wanita.
Mangsa berusia 19 tahun ketika itu sedang solat bersendirian dan meletakkan beg yang mengandungi dokumen serta barangan peribadi di hadapan sejadah.
Difahamkan suspek berjaya ditangkap jam 8.35 malam Isnin di kawasan Pegoh Alor Gajah sebelum permohonan reman dibuat pada pagi ini. - Sinar Harian