KLANG: Hasrat seorang lelaki dipercayai warga asing melarikan diri daripada pihak berkuasa tidak kesampaian apabila dia ditahan selepas disyaki mencuri kabel di laluan Telok Gadong–Teluk Pulai dalam kejadian kira‑kira 6.45 petang Rabu.
KTM Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan ketika kejadian, anggota Polis Bantuan KTMB sedang melakukan rondaan di kawasan hotspot kecurian kabel berhampiran landasan kereta api di KM 37.478.
Advertisement
Hasil pemeriksaan mendapati suspek membawa sebuah beg kecil berisi sebilah pisau dan gunting yang dipercayai digunakan untuk aktiviti kecurian kabel.
Susulan tangkapan, suspek dan barangan bukti diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada 7.20 malam untuk siasatan lanjut.
KTMB turut memaklumkan bahawa suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai seorang warga asing.
Menurut kenyataan itu, perbuatan menceroboh dan merosakkan harta benda kereta api merupakan kesalahan serius di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), yang boleh membawa denda, penjara, atau kedua‑duanya jika sabit kesalahan.
KTMB menegaskan bahawa cubaan mencuri atau merosakkan infrastruktur rel bukan sahaja menjejaskan operasi tren, malah boleh membahayakan keselamatan penumpang serta kelancaran perkhidmatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan landasan kereta api diminta menghubungi Pusat Pengumpulan dan Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian +603‑2263 1194 (beroperasi 24 jam) atau balai polis berhampiran.