IPOH:Seorang lelaki yang dipercayai suspek mencuri komponen kenderaan sanggup terjun ke dalam lombong berdekatan Kampung Dato' Ahmad Said, Jelapang, di sini dalam usaha meloloskan diri daripada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam kejadian pukul 7 malam semalam, kereta peronda (MPV) polis sedang membuat rondaan di Jalan Sultan Azlan Shah sebelum terserempak dengan kenderaan suspek dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pihak polis meminta suspek berumur 41 tahun yang memandu Proton Saga berwarna hijau itu untuk berhenti.

Bagaimanapun, suspek memecut laju dan melarikan diri sehingga ke Kampung Manjoi dan pihak polis terus mengekorinya.

"Setelah sampai di Jalan Cenderawasih, Kampung Dato' Ahmad Said, polis dapati kereta itu telah berhenti di jalan mati dan suspek bertindak terjun ke dalam lombong.

"Pemeriksaan di dalam kereta itu mendapati terdapat seorang kanak-kanak lelaki dalam lingkungan 9 tahun yang dipercayai anak suspek.

"Selain itu, turut ditemui tiga sport rim kereta dan tayar, dua sport rim motosikal, sebuah alternator kereta dan komponen kereta (cylinder head) yang disyaki barang curi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

A Asmadi berkata, suspek berjaya ditangkap pada pukul 12.30 malam dengan dibantu pegawai dan anggota dari cawangan D9 dan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Suspek berjaya ditangkap pada pukul 12.30 malam dengan dibantu pegawai dan anggota dari cawangan D9 dan D7 IPD Ipoh. - Foto ihsan pembaca

Menurutnya, suspek juga mengalami kecederaan di sebelah kiri kepala dan calar di kedua-dua belah kakinya akibat terkena objek semasa terjun ke dalam lombong.

"Suspek ditangkap dan kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, menaiki ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk rawatan susulan.

"Sementara itu, seorang kanak-kanak lelaki yang merupakan anak suspek turut ditahan untuk siasatan lanjut berhubung kes," katanya.

Katanya, suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 379 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.