Pihak polis masih memburu suspek yang membunuh secara kejam dan mengelar sehingga putus kepala seorang kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan, Siti Soffea Emelda, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata pencarian untuk suspek yang dipercayai telah lemas itu, diteruskan pagi ini di dalam aliran Sungai Klang dari Petronas Brickfields menghala ke Selatan.

“Kawasan Selangor akan dibantu oleh Bomba Selangor sehingga tempat tahanan sampah di Puchong.

“Kes ini masih dalam siasatan teliti dan tiada orang ditahan lagi,” katanya di dalam satu kenyataan.

Adik Siti Soffea menjadi mangsa seorang lelaki tidak berhati perut yang dikatakan telah menghentak kepala mangsa dengan serpihan seramik serta mengelar leher mangsa sehingga putus.

Suspek turut dilihat cuba membaringkan mangsa dipercayai cuba untuk mencekiknya di tempat kejadian yang terletak berdekatan tebing Sungai Klang berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), Jalan Tun Sambanthan.

Lelaki yang dipercayai warga tempatan itu terjun ke dalam sungai sewaktu mengelak daripada ditangkap orang ramai dan anggota polis bantuan yang melihat kejadian.

Motif sebenar kejadian itu belum dikenalpasti dan siasatan lanjut dijalankan mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan.