ALOR SETAR: Lelaki yang sebelum ini ditahan kerana memukul isterinya sehingga mengalami keguguran dalam kejadian di Ambangan Heights, Sungai Petani, bulan lepas kini disiasat kerana menyembunyikan kelahiran dengan menanam janin.
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata hasil soal siasat yang dilakukan terhadap suspek yang berumur 43 tahun dan isterinya berusia 39 tahun telah membawa pihak polis ke tanah perkuburan di sebuah masjid di Alor Setar pada Khamis lepas, bagi menunjukkan lokasi janin berkenaan ditanam.
Advertisement
“Wanita itu telah mengalami keguguran pada awal April lepas akibat dipukul suaminya. Suspek memaklumkan bahawa dia dan isterinya telah menanam janin berkenaan.
“Anggota forensik kemudian telah menggali dan menjumpai tisu kering yang tidak lagi menyerupai bentuk janin kerana sudah lama ditanam … jadi, kita hantar spesimen itu untuk mengenal pasti sama ada ia sel manusia atau benda lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.
Adzli berkata sekiranya terbukti sampel berkenaan ialah janin manusia, polis akan membuka kertas siasatan terhadap suspek mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
“Suspek juga akan dituduh berkaitan kes mencederakan isterinya pada Khamis ini dan kita akan mencadangkan kes dituduh di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Mangsa kini masih menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita mendakwa ditumbuk, dibelasah dengan besi, penyapu dan diserang bertubi-tubi oleh suaminya sehingga menyebabkan dia patah tulang rusuk dan lebam teruk, sebelum disahkan kehilangan kandungan berusia 12 minggu.
Suspek kemudian telah ditahan dan direman selama tujuh hari bermula dari 29 April dan merupakan pelaku sama terhadap kes melibatkan Jahidah Nordin, 48, yang dipukul sehingga koma dalam kejadian di Johor Bahru pada 2021.
Semalam, Mahkamah Rayuan telah menaikkan hukuman penjara daripada 10 tahun kepada 14 tahun terhadap Rosmaini Abd Raof kerana telah menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya itu sehingga koma, lima tahun lepas.
-- BERNAMA