Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menjalankan ujian pengesanan COVID-19 atau swab test dari rumah ke rumah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesej tular dalam media sosial mendakwa KKM menjalankan swab test dari rumah ke rumah adalah satu kes penipuan.

Justeru, beliau menasihatkan orang awam supaya menghubungi pihak berkuasa untuk membuat laporan sekiranya didatangi individu berkenaan.

“Apa yang berlaku ini adalah kes tipu. Saya bercakap dengan KKM, mereka sendiri sudah periksa, nombor pendaftaran yang kenderaan itu gunakan sepatutnya nombor di Perodua Myvi, bukan di van (merujuk kepada kes yang tular).

“Maknanya van pun tipu dan tindakan mereka pun tipu. Saya harap rakyat kita jangan tertipu dengan perkara seperti ini. Jika didapati ada yang datang ke rumah dan mengaku dari KKM dengan tujuan apa saja, tolong laporkan kepada polis dengan segera.

“Untuk kes ini saya percaya KKM telah lapor kepada polis dan polis akan ambil tindakan dengan segera,” katanya dalam sidang media harian di sini pada Isnin.