Ekoran kejadian terowong bawah tanah yang dalam pembinaan runtuh apabila tanah ditapak pembinaan itu mendap di simpang empat Jalan Imbi, berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual di beberapa kawasan.

Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) Priscilla Alfred berkata gangguan bekalan air berlaku berikutan paip jenis besi lembut bersaiz 600mm di persimpangan Jalan Imbi-Jalan Pudu pecah sekitar jam 1 petang tadi.

“Hasil siasatan awal pihak SYABAS mendapati kejadian paip pecah ini disebabkan oleh kerja-kerja pengorekan terowong oleh kontraktor yang dilantik oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, pihak DBKL telah melantik kontraktor paip mereka bagi melaksanakan kerja pembaikan paip pecah ini yang dijangka siap sepenuhnya lewat tengah malam ini.

Kerja-kerja pembaikan ini kerja sementara dengan tujuan membekalkan air semula kepada kawasan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan media.

Priscilla berkata antara kawasan yang terputus bekalan air dan mengalami tekanan rendah tidak berjadual ini adalah Jalan San Peng, Jalan Bukit Bintang, Jalan Pudu, Jalan Alor, Jalan Loke Yew, Jalan Mesui, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Davis.

Petang tadi, sebahagian daripada struktur terowong bawah tanah seliaan DBKL di simpang empat Jalan Imbi, runtuh sedalam lima meter setelah berlaku mendapan tanah, dipercayai berpunca daripada paip air bawah tanah pecah.