NATIONAL
Syarikat Malaysia perlu terus teroka pelaburan di luar negara, bawa kepakaran untuk Malaysia - Fadillah

Fadillah ditemui dalam sidang media sempena lawatan kerja rasmi dua hari ke Turkiye bermula Selasa lepas. - Foto Bernama
ISTANBUL: Syarikat besar Malaysia disaran terus meneroka peluang pelaburan di luar negara yang bukan sahaja dapat meningkatkan jalinan kerjasama dalam konteks perniagaan tetapi mampu memperluas perkongsian teknologi dan kepakaran, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ringkasan AI
- Syarikat besar Malaysia digalakkan meneroka pelaburan luar negara, untuk memperluas perkongsian teknologi dan kepakaran, seperti yang dilakukan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Turkiye.
- Lawatan kerja rasmi Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof ke Turkiye, termasuk melawat syarikat tenaga Gama Energi A.S serta Karpowership, yang berminat melabur di Malaysia, khususnya dalam penjanaan tenaga di Sabah.
- Malaysia akan menyertai Sidang Kemuncak Keselamatan Tenaga di London, dengan Fadillah mengetuai delegasi untuk membincangkan masa depan tenaga bersama Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan kerajaan United Kingdom.
"Walaupun TNB bukan pemegang saham majoriti tetapi mereka terlibat dalam pengurusan serta pengembangan pelaburan TNB di peringkat antarabangsa.
"Kita menggalakkan lebih banyak lagi syarikat meneroka (pelaburan di luar negara) dan wajib mencari rakan kongsi yang boleh memanjangkan pengalaman, pengetahuan dan teknikal serta teknologi mereka ke Malaysia selain tenaga dan air yang menjadi tumpuan kita," katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.
Terdahulu, Fadillah yang dalam lawatan kerja rasmi selama dua hari ke Turkiye bermula Selasa, melawat Gama Energi A.S di Ankara.
Turut sama dalam lawatan itu ialah Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal dan Ketua Pegawai Tenaga Baharu TNB Mohd Zarihi Mohd Hashim.
Fadillah berkata beliau juga akan melawat Karpowership, pengendali loji jana kuasa terapung Turkiye di sini yang berminat melabur di Malaysia dan berkongsi kepakaran termasuk penjanaan tenaga terutama di Sabah.
"Karpowership merupakan kapal yang menjadi penjanaan tenaga. Maksudnya, ia mudah alih, boleh pergi ke mana-mana untuk membekalkan tenaga menggunakan gas, gas petroleum cecair (LPG) dan sebagainya," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata beliau akan melihat sendiri lokasi pembinaan dan pemasangan kapal itu hari ini serta keupayaannya dalam aspek pembekalan tenaga.
"Saya hendak melihat keupayaan mereka kerana ada masanya kita memerlukan sokongan. Oleh itu, sekurang-kurangnya kita tahu ada alternatif dan jika terdapat apa-apa kekurangan, kita boleh mendapat sokongan. Ini belum ada komitmen, lebih kepada penerokaan," katanya.
Selepas mengakhiri lawatan kerja rasmi di Turkiye hari ini, Fadillah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak mengenai Masa Depan Keselamatan Tenaga pada 24 hingga 25 April di London anjuran Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan kerajaan United Kingdom (UK).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami