KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan terbabit dalam aduan-aduan penumpang di media sosial diarahkan untuk segera menyelesaikan isu teknikal secepat mungkin.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan, pesawat yang menghadapi masalah teknikal digantung daripada perkhidmatan untuk penyelenggaraan yang lebih teliti.

Ka Siong berkata, syarikat-syarikat penerbangan telah diarahkan supaya memantau dengan lebih baik isu teknikal berkaitan perkhidmatan penerbangan dan telus dalam enyampaikan maklumat kepada penumpang.

Beliau mengulas mengenai aduan pengguna perkhidmatan penerbangan di media sosial berhubung pengalaman mereka. dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

“Sejak beberapa hari lalu, MOT dan agensi berkaitan penerbangan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menerima dan menyiasat laporan penumpang di beberapa saluran termasuk media sosial yang memberi maklum balas mengenai pengalaman mereka menggunakan perkhidmatan penerbangan.

“Setelah melakukan rundingan dan siasatan, syarikat penerbangan terbabit telah diarahkan untuk segera menyelesaikan isu teknikal yang dialami oleh para penumpang,” menurut Ka Siong.

Jelasnya, kebanyakan aduan yang diterima berkait dengan trafik penumpang yang lebih tinggi daripada biasa semasa musim perayaan sehingga syarikat penerbangan terpaksa menggunakan sepenuhnya pesawat untuk memenuhi permintaan.

Menurut Ka Siong, semua aduan berkaitan penjadualan semula dan kelewatan penerbangan setakat 10 Mei telah diselesaikan. 

“Pihak berkuasa juga telah menegur pihak yang terlibat untuk memastikan pematuhan peraturan teknikal, ekonomi dan keselamatan serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pengendali yang gagal berbuat demikian.

“Adalah penting bagi syarikat penerbangan untuk menambah baik saluran komunikasi di antara penumpang dan pelanggan bagi memastikan mereka menerima maklumat berhubung status penerbangan mereka,” tegas Ka Siong.

BACA: AirAsia tidak kompeten? Ini saranan Alexander...

Pada Isnin, Malaysia Airlines Berhad dalam satu kenyataan mengesahkan pesawat MH2710 bagi penerbangan bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sandakan pada Ahad mengalami isu teknikal ketika enjin pesawat dihidupkan dan pendingin hawa tidak dapat dihidupkan ketika proses baik pulih dilakukan.

BACA: Isu kelewatan penerbangan: AirAsia akan beri penjelasan dalam 24 jam - Alexander Nanta Linggi

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pula bakal menjalankan siasatan dari sisi kepentingan pengguna berhubung isu kelewatan dan penjadualan semula penerbangan domestik melibatkan syarikat penerbangan AirAsia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata isu kelewatan penerbangan AirAsia ke pelbagai destinasi dalam negara dikesan berlaku sejak hujung bulan lepas dan masih berlanjutan.