KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengesa syarikat yang menawarkan sumbangan 2 juta dos vaksin Sinovac untuk tampil memberi penjelasan dan menunjukkan bukti berkaitan.

Menurut Chon dalam satu kenyataan hari ini, syarikat berkenaan harus tampil menolak dakwaan serius yang dibuat oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurut beliau, kerajaan Pulau Pinang telah mengambil tindakan berhemah setelah menerima surat tawaran sumbangan vaksin, sebelum dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tujuan permohonan.

Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah bagaimanapun memaklumkan bahawa sumbangan vaksin tersebut tidak perlu dipertimbangkan kerana kerajaan persekutuan telah melaksanakan PICK.

BACA: Sumbangan 2 juta dos vaksin: Pulau Pinang kena 'scam' - Khairy


Sumbangan 2 juta dos vaksin COVID-19 kepada kerajaan Pulau Pinang adalah palsu

Kon Yeow mendakwa Mohd Shafiq tidak menyentuh tentang isu status syarikat berkenaan dalam surat tersebut.

Tambahnya lagi, membangkitkan semula tawaran vaksin selepas kerajaan negeri Sarawak dan Selangor dibenarkan membeli vaksin untuk kegunaan masing-masing.

Beliau menegaskan, kerajaan Pulau Pinang telah melakukan tanggungjawab dengan sebaiknya kerana tawaran vaksin boleh diberikan kepada rakyat negeri itu demi keselamatan mereka.

Khairy dalam sidang media hari ini mendakwa tawaran sumbangan dua juta dos vaksin COVID-19 Sinovac kepada kerajaan Pulau Pinang merupakan satu penipuan.

Khairy, antara lain mengulas mengenai kenyataan Kon Yeow yang memohon Kerajaan Persekutuan meluluskan sumbangan vaksin tersebut dari sebuah syarikat swasta untuk kegunaan rakyat negeri itu.