PUTRAJAYA: Syor berhubung penambahbaikan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 akan diangkat untuk pertimbangan kerajaan dalam masa yang terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata cadangan penambahbaikan SOSMA 2012 sedang diteliti bersama Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara.

"Usaha meneliti penambahbaikan SOSMA 2012 mengikut kesesuaian semasa sememangnya sedang berjalan," katanya dalam kenyataan hari ini susulan tindakan mogok lapar ahli keluarga tahanan di bawah SOSMA 2012 di luar perkarangan Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Beliau berkata kerajaan mengambil maklum akan tindakan mogok lapar itu dan memohon ahli keluarga tahanan di bawah SOSMA 2012 menamatkan tindakan tersebut sementara proses reformasi undang-undang berjalan, demi anak-anak kecil mereka yang turut hadir.

Dalam melaksanakan proses reformasi undang-undang, Ramkarpal berkata beliau telah mempengerusikan beberapa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk beberapa ahli keluarga tahanan di bawah SOSMA 2012 sejak Feb hingga 14 Julai lepas.

Beliau berkata sebanyak 12 sesi libat urus telah diadakan di seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Ini penting bagi mendapatkan perspektif yang holistik memandangkan undang-undang ini membawa kesan kepada semua pihak berkepentingan terutamanya untuk memahami bagaimana SOSMA 2012 telah memberikan kesan kepada kehidupan seharian ahli keluarga tahanan di bawah undang-undang tersebut," katanya.

Menurutnya cadangan penambahbaikan kepada SOSMA 2012 yang sedang diteliti itu mengambil kira hasil dapatan daripada kesemua sesi libat urus bagi memastikan penambahbaikan yang dicadangkan sesuai dengan keadaan.

Semalam, media tempatan melaporkan kira-kira 100 ahli keluarga kepada 69 tahanan bawah SOSMA melancarkan mogok lapar di hadapan Penjara Sungai Buloh.

-- BERNAMA