Kerajaan negeri Terengganu memperuntukkan RM7.4 juta untuk pembayaran bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada 6,635 penjawat awam negeri itu.

Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata ia akan dibayar pada 15 Jan.

"Diharap pembayaran bonus ini akan dapat meringankan beban kewangan penjawat awam, terutama bagi mereka yang turut terjejas banjir baru-baru ini," katanya.

Ahmad Razif bercakap kepada pemberita dalam sidang media sempena majlis angkat sumpah Datuk Bandar Kuala Terengganu, Pegawai Kewangan Negeri dan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu di sini hari ini.