Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Tabung Haji hampir 'tersungkur' akibat ketamakan, salah urus kewangan - PM

Kuala Lumpur , 30 Julai 2026.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Maybank baharu di Menara Merdeka Maybank.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Anwar berkata, keadaan itu bagaimanapun berjaya dikesan lebih awal sebelum langkah pemulihan dilaksanakan, sekali gus membolehkan institusi berkenaan kembali berada di landasan yang betul. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Lembaga Tabung Haji (TH) hampir mengalami kejatuhan akibat kelemahan tadbir urus, kecuaian dalam pengurusan institusi serta amalan tamak haloba yang menjejaskan kedudukan kewangannya.

Perdana Menteri berkata, keadaan itu bagaimanapun berjaya dikesan lebih awal sebelum langkah pemulihan dilaksanakan, sekali gus membolehkan institusi berkenaan kembali berada di landasan yang betul.

“Tabung Haji ialah sebuah institusi yang mempunyai sejarah gemilang, diasaskan hasil gagasan seorang pejuang, pemikir dan sarjana ulung, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz, serta telah memberi khidmat kepada ratusan ribu jemaah haji.

“Tetapi ia hampir tersungkur kerana kecuaian dalam mengurus institusi, termasuk aspek kewangannya, akibat kegelojohan, tamak haloba dan nafsu serakah yang merosakkan amanah. Alhamdulillah, perkara itu dapat dikesan lebih awal dan dipulihkan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ibu Pejabat Baharu Maybank di Menara Merdeka Maybank, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli.

Berucap lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Jemaah Menteri pada Rabu bersetuju mendedahkan keseluruhan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung TH sebagai manifestasi komitmen kerajaan dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus institusi negara.

Beliau berkata pendedahan laporan itu juga menjadi peringatan bahawa kejayaan sesebuah institusi tidak hanya bergantung kepada prestasi kewangan, sebaliknya perlu disandarkan kepada tadbir urus yang baik, integriti serta pengurusan yang amanah.

“Berbalik kepada perbahasan utama, integriti mesti berpaksikan tadbir urus yang baik dan melahirkan golongan profesional yang mempunyai kemahiran, kepakaran serta integriti dan maruah,” katanya.

Anwar menambah institusi kewangan di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, tidak terkecuali daripada berdepan cabaran berkaitan integriti dan tadbir urus.

Beliau menjelaskan, walaupun prinsip itu sering dilaungkan sebagai slogan, pelaksanaannya memerlukan iltizam yang tinggi bagi mengelakkan institusi daripada terjerumus dalam salah urus yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat dan negara.

“Lebih mudah menjadikannya slogan atau retorik, tetapi lebih sukar mengamalkannya kerana manusia mudah terjebak dengan tarikan yang akhirnya memusnahkan nilai moral, akhlak, keluarga, masyarakat dan negara,” ujarnya lagi.

Beliau pada masa sama menyatakan keyakinan bahawa TH akan terus muncul sebagai institusi yang cemerlang susulan usaha pemulihan yang telah dilaksanakan.

Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerbitkan laporan RCI berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi Lembaga TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 setebal 211 halaman, yang antara lain mengandungi syor penambahbaikan pengurusan dan operasi TH.

 

Must Watch Video

Advertisement