PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan 13,343 jawatan baharu tanpa tukar ganti bagi pelbagai skim perkhidmatan dan gred di Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyokong pengoperasian 256 fasiliti kesihatan baharu dan fasiliti yang dinaik taraf, dengan implikasi kewangan RM1.25 bilion setahun, menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Jabatan itu memaklumkan daripada jumlah berkenaan, sebanyak 7,218 jawatan melibatkan lima skim perkhidmatan utama iaitu 1,197 Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian (239), Pegawai Farmasi (339), Jururawat (3,471) dan Penolong Pegawai Perubatan (1,972).
"Baki 6,125 jawatan melibatkan pelbagai skim perkhidmatan lain yang menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan lebih berkualiti kepada rakyat.
"Dengan kelulusan ini, JPA telah memperakukan sebanyak 66,312 jawatan baharu tanpa tukar ganti kepada KKM sejak 2019, sekali gus memperkukuh keupayaan sistem kesihatan negara bagi memenuhi keperluan rakyat yang semakin meningkat," menurut JPA dalam kenyataan hari ini.
JPA memaklumkan, bagi pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), kerajaan memperkukuh Unit Pemerkasaan Bumiputera (UPB) di semua kementerian melalui Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2025.
Pengukuhan itu akan memperkemas penyelarasan, pemantauan dan pelaksanaan 132 ikhtiar PuTERA35 di semua kementerian dan agensi melalui pemantapan fungsi dan tadbir urus UPB.
"Ini termasuk penjenamaan semula Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (UPAB) kepada UPB serta penyeliaan di bawah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) atau Timbalan Ketua Setiausaha yang menerajui dasar dan perancangan strategik kementerian," menurut JPA.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua langkah strategik berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh keupayaan sektor awam sebagai pemacu pembangunan negara melalui pengukuhan sistem kesihatan awam dan pelaksanaan PuTERA35 yang lebih berkesan.
“Kerajaan akan terus memastikan setiap dasar diterjemahkan kepada penyampaian perkhidmatan yang cekap, inklusif dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara,” menurut JPA.
-- BERNAMA