Skip to main content

Malaysia

Tabung Haji hantar SMS, e-mel kepada lebih 60,000 bakal jemaah sebagai peringatan awal

KUALA TERENGGANU, 10 Julai -- Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Mustakim Mohamad pada sidang media pada Majlis Perasmian Program Literasi Kewangan TH, Cilik- cilik Dah Celik hari ini.  TH memperluaskan program literasi kewangan Cilik-cilik Dah Celik ke Pantai Timur, menyasarkan penyertaan 100 keluarga muda dari Terengganu, Kelantan dan Pahang, bagi memupuk budaya menabung serta meningkatkan pengurusan kewangan sebagai persediaan masa depan, termasuk menunaikan ibadah haji
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Mustakim Mohamad pada sidang media pada Majlis Perasmian Program Literasi Kewangan TH, Cilik- cilik Dah Celik hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA TERENGGANU: Lembaga Tabung Haji (TH) telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel kepada lebih 60,000 bakal jemaah haji sebagai persediaan awal bermula 1 Julai lepas.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad berkata inisiatif itu bertujuan membantu bakal jemaah haji membantu persediaan awal dari segi kewangan, kesihatan dan ilmu ibadah.

Beliau berkata penghantaran SMS dan e-mel melibatkan dua kohort, iaitu bagi jemaah haji musim 2027 dan 2028.

"Selain SMS dan e-mel, TH juga menggunakan saluran komunikasi lain seperti media massa dan media sosial bagi memastikan peringatan itu  sampai kepada semua bakal jemaah musim 2027 dan 2028.

"Maklum balas yang kita terima amat menggalakkan. Ramai yang bercakap mengenainya dalam media sosial. Kita harap peringatan ini akan memberikan peluang kepada jemaah haji untuk membuat persediaan awal, seterusnya menjalankan ibadah dengan tenang serta sempurna," katanya pada sidang media Program Cilik-Cilik Dah Celik 2026 di sini, hari ini.

Mustakim berkata inisiatif SMS dan e-mel itu mula diperkenalkan tahun lepas, namun pelaksanaan tahun ini dibuat secara lebih tersusun dan awal, iaitu sebaik sahaja berakhir musim haji tahun semasa.

Beliau berkata TH masih mengekalkan syarat sama, iaitu bakal jemaah perlu mempunyai simpanan minimum sebanyak RM15,000 dalam akaun TH, sebelum ditawar mengerjakan haji.

"Kita mahu masyarakat membudayakan amalan menabung sedikit demi sedikit. Apabila tiba giliran, mereka tidak perlu berdepan tekanan untuk menyediakan wang dalam jumlah yang besar.

"Untuk ibadah haji tahun depan, kursus asas haji akan bermula pada 25 Sept depan. Kursus ini sebenarnya bukan hanya terbuka kepada mereka yang telah tiba giliran haji, tetapi semua pendeposit dan umat Islam yang ingin menimba ilmu haji," katanya.

Dalam pada itu, Mustakim berkata TH masih menunggu pengumuman rasmi kerajaan Arab Saudi berkaitan sebarang peraturan baharu untuk musim haji akan datang.

"Setakat ini kita dimaklumkan bahawa Pakej D yang menawarkan harga paling rendah sudah tidak ada lagi. Tetapi, kita telah bersedia awal kerana kemudahan yang disediakan oleh TH kepada jemaah haji Malaysia pada tahun ini sebenarnya telah dinaik taraf kepada Pakej C walaupun harga dibayar untuk Pakej D," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement