KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan bagi tahun kewangan 2022 sebanyak 3.10 peratus setelah mengambil kira zakat 2.57 peratus.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Naim Mokhtar menjelaskan, agihan keuntungan tersebut melibatkan jumlah agihan sebanyak RM2.65 bilion dan akan memberi manfaat kepada lebih 8.7 juta pendeposit.

"Agihan keuntungan ini adalah kompetitif mengambil kira antara lainnya kadar agihan bagi tahun 2022 adalah lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.34 peratus dan zakat telah dilunaskan bagi pihak pendeposit.

"Agihan Keuntungan 2022 adalah setelah TH melunaskan zakat sebanyak RM97 juta kepada semua Majlis Agama Islam Negeri bagi pihak pendeposit, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM1.27 bilion sehingga kini," katanya pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH, di sini, pada Jumaat.

[TERKINI] Pengumuman Agihan Keuntungan TH bagi tahun kewangan 2022

Beliau turut menjelaskan, pengiraan agihan keuntungan tahunan 2022 adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan yang disimpan sepanjang tahun, iaitu sebagaimana pengiraan tahun-tahun sebelum ini.

Sementara itu, TH memaklumkan, para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula pukul 12 tengah hari, 29 April ini (esok).

Urus niaga TH akan ditangguhkan sementara waktu bermula jam 8 malam, Jumaat, 28 April 2023 sehingga jam 12 tengah hari, Sabtu, 29 April 2023, bagi melancarkan urusan pengkreditan agihan keuntungan.