Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Jumaat menyampaikan sumbangan bagi membiayai kos kuarantin 83 pelajar Malaysia yang pulang dari Yaman berjumlah RM156,870 kepada Hotel Impiana KLCC.

Beliau berkata daripada jumlah itu, RM79,380 sumbangan daripada Tabung Musa'adah COVID-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), manakala RM77,490 lagi daripada Tabung Musaadah Khaira COVID-19 Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Zulkifli berkata bantuan itu dihulurkan susulan permohonan pelajar berkenaan yang disampaikan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), memandangkan mereka tidak mampu menampung kos kuarantin berjumlah RM1,890 setiap seorang.

"Apa yang kita lakukan ini ialah sebagai tanda kita memberi kepedulian terhadap anak-anak kita yang belajar di luar negara, menghadapi kekangan kewangan ketika mereka terpaksa menanggung kos kuarantin dengan jumlahnya bagi seorang pelajar, mungkin banyak," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan sumbangan itu, di sini.

Menurut Zulkifli kesemua pelajar berkenaan akan tamat tempoh kuarantin wajib selama 14 hari, esok.

-- BERNAMA