KUALA LUMPUR: Amalan tadbir urus baik dan usaha membendung ketirisan membolehkan kerajaan menyalurkan hasil penjimatan kepada rakyat menerusi pelbagai bantuan serta penambahbaikan pendapatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perlu mengurus kewangan negara mengikut urutan keutamaan, termasuk menyelesaikan hutang serta memenuhi keperluan asas dalam sektor pertahanan, perumahan anggota tentera dan polis serta pendidikan, sebelum memperluas manfaat kepada rakyat.
“Wang mesti dijimatkan, jangan boros, jangan hilang, jangan tiris. Jadi daripada yang terkumpul itu boleh pulang kepada rakyat, bukan pulang kepada elaun menteri,” katanya dalam program Wawancara Khas Belanjawan 2027, pada Sabtu.
Anwar berkata kemampuan kerajaan untuk menyalurkan manfaat berkenaan kini semakin meningkat, namun ia bergantung pada usaha berterusan memastikan ketirisan tidak berulang.
Jelasnya, amalan tadbir urus yang baik turut membolehkan kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan, selain memberi perhatian kepada kebajikan pekebun getah dan pesawah padi menerusi pelbagai elaun.
Beliau berkata pendekatan pembangunan negara juga perlu berpaksikan keperluan rakyat, bukan hanya tertumpu pada pelaburan dalam bidang baharu seperti teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI).
Sebaliknya, katanya, pembangunan perlu turut mengambil kira isu pendapatan, harga barangan, kemudahan asas untuk orang kurang upaya (OKU) serta keperluan kanak-kanak.
“Bila mengakar di bumi ini, gaji dia, harga barang dia, masalah OKU, masalah anak yang dapat kemudahan asas, ini yang kita kena akar ke bumi,” katanya.
Anwar berkata kerajaan juga memberikan perhatian kepada aspek nilai, akhlak dan budaya, termasuk peruntukan bagi latihan, pendidikan Islam serta usaha menyantuni masyarakat bukan Islam.