Pakatan Rakyat (PR) tidak mungkin akan dapat mengambil alih Putrajaya jika salah sebuah parti komponennya keluar dari pakatan tersebut.

Demikian pandangan yang diutarakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar ketika mengulas tentang kerjasama atau tahaluf siyasi antara ketiga-tiga parti PR iaitu PAS, PKR dan DAP.

"Saya akui ia mustahil jika kita tidak terus kekal dalam Pakatan Rakyat. Sudah tentu ada formula lain, tetapi ia haruslah tahaluf siyasi yang berkesan kerana kita ingin sokongan yang meyakinkan dari pelbagai kumpulan dalam negara ini," katanya ketika ditemui Astro AWANI selepas menghadiri forum Islam Demokrat Sedunia pada Isnin.

Menurut Nurul Izzah, parti-parti tersebut sememangnya boleh terus kekal bersendirian seperti mana DAP dan PAS telah wujud setelah sekian lama, namun untuk mengambil alih kepimpinan, mereka harus bersatu.

Mengulas lanjut tentang tahaluf siyasi, katanya ia bererti menghormati rakan sekutu sama ada ianya perlembagaan Pakatan Rakyat ataupun kerangka yang dipersetujui.

"Ini adalah sesuatu yang perlu dipatuhi tanpa memihak, dan tanpa berlengah-lengah. Kita harus memperbaik proses tahaluf siyasi untuk memastikan ianya berkesan dan bermakna.

"Dan saya harap semua pihak memahami kepentingan menguruskan proses ini dengan teliti," jelas Nurul Izzah sambil menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai satu teguran kepada semua.

Guan Eng dalam satu kenyataan di KiniTV, telah mendakwa ada parti yang ‘cakap tak serupa bikin’ dalam PR.

Menurutnya, parti yang dimaksudkan itu bukan sahaja tidak menunaikan janji malah tidak menunjukkan komitmen kepada pakatan tersebut.

Meskipun nama parti tidak disebut, namun dipercayai ia ditujukan kepada PAS yang enggan mematuhi konsensus PR dengan menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Sementara itu, dua ahli PAS iaitu Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad menganggap kerjasama dalam PR terutama sekali di kalangan pemimpin tertingginya perlu diperkukuhkan.

khalid samad
Ahli Parlimen Shah Alam (PAS), Khalid Samad. Foto Astro AWANI

Menurut mereka, ini adalah perlu memandangkan terdapat kemungkinan bahawa PR akan kehilangan pemimpin utamanya iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita berkongsi cita-cita yang sama iaitu untuk wujudkan pakatan pembangkang yang mantap dan mampu mencabar Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang... jika tidak hilang arah, kita mampu lakukannya," kata Khalid.

Bagi Dr Dzulkefly pula, katanya ia merupakan keyakinan pakatan itu untuk meneruskan perjuangan mereka.

Menurut beliau, Anwar merupakan ikon sebuah institusi perubahan atau reform. Bagaimanapun katanya tanpa Anwar, PR tetap tidak akan goyah.

"Kita perlu kuatkan kepimpinan tertunggi ke arah pilihan raya umum ke-14," kata Dr Dzulkefly.

Anwar kini berdepan kemungkinan dihukum penjara lima tahun sekiranya rayuannya di atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, ditolak mahkamah.

Bagaimanapun, Guan Eng dalam satu lagi kenyataan yang dipetik KiniTV, menolak pandangan sesetengah pihak yang mengatakan PR akan berkubur tanpa Anwar.

Tegas beliau, perkara yang penting dalam menggerakkan PR adalah ketiga-tiga komponen parti di bawahnya iaitu DAP, PKR dan PAS.

Kata Lim, sama ada Anwar ada atau tidak bukan persoalannya jika parti tidak dapat melaksanakan tanggungjawab dan tidak menunaikan janji.