GEORGE TOWN: Seramai 528 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Sementara Relau, Bandar Baharu Kedah tidak mempunyai arah tujuan sewaktu melarikan diri dari pusat tahanan itu pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata kumpulan tersebut telah bergerak sejauh kira-kira 10 kilometer (km) dari pusat tahanan sebelum ditahan di (KM) 168 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan.

Mohd Shuhaily berkata, sebahagian besar mereka berjalan dalam keadaan berkaki ayam dengan ada yang mengendong bayi berusia kira-kira setahun selain terdapat warga emas.

Katanya, dengan tempoh kejadian yang sudah melebihi 12 jam, tahanan yang masih bebas dipercayai semakin keletihan dan berkemungkinan akan mendapatkan bantuan daripada awam.

"Mereka yang melarikan diri ini telah berjalan 10km sebelum mereka ditangkap, dan sekiranya saki baki yg kita kesan ini, mereka mungkin menuju ke arah selatan.

"Mereka bergerak dalam satu kumpulan besar (sebelum ini). Ada juga yang terlepas masuk balik dalam hutan, sebab itu kita ada jumpa enam lagi di Sungai Kerian hampir 12 jam dari tempoh kejadian," katanya di sini, hari ini.

AWANI Ringkas: Tahanan Lolos, polis tubuh pasukan khas

BACA: 528 tahanan depoh imigresen lolos, 205 masih diburu, 6 maut nahas lebuh raya

BACA: Tahanan imigresen lolos: Penduduk terkejut bunyi bising, lihat tahanan keluar beramai-ramai

Beliau berkata, pihaknya  turut meminta kerjasama daripada polis kontinjen Perak untuk mengesan saki baki tahanan masih bebas.

Dalam pada itu Mohd Shuhaily berkata, enam tahanan yang maut dirempuh kenderaan ketika cuba melintas lebuh raya dipercayai bergerak dalam satu kumpulan.

Ujarnya, mereka dilanggar sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 50-an yang tidak mengalami kecederaan namun masih terkejut dengan kejadian tersebut.

Ditanya sama ada keenam-enam mangsa sebuah keluarga, Mohd Shuhaily berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan polis juga sudah mendapatkan keterangan daripada salah seorang waris mangsa yang ditahan semula.

Dalam pada itu beliau berkata, kesemua tahanan itu sedang menunggu tempoh untuk dihantar pulang ke negara asal dan polis yakin mereka tidak akan bertindak agresif.

Sehubungan itu, pihaknya meminta kerjasama orang ramai supaya memujuk mereka menyerah diri atau segera menghubugi mana-mana balai polis berdekatan, jika terserempak dengan kumpulan terbabit.

Dalam pada itu, beliau berkata polis Pulau Pinang turut mengadakan tiga sekatan jalan raya bagi mengesan tahanan yang masih bebas iaitu masing-masing di Jalan Sungai Baung, Sungai Bakap; Jalan Tasek Valdor, Simpang Empat dan Jalan Kerian-Kedah.

Selain itu, polis juga tubuh menubuhkan sebanyak 17 pasukan tangkapan terdiri daripada empat pegawai dan 80 anggota selain bekerjasama dengan pihak berkuasa lain dalam mengesan tahanan yang masih bebas.