Skip to main content

Malaysia

Tahanan rumah Najib: AGC bertindak berasas ikut undang-undang dengan perintah baharu mahkamah

Tindakan AGC mohon klarifikasi bukan menentang titah YDPA, sebaliknya memastikan pelaksanaan teratur selepas Mahkamah Tinggi membatalkan perintah pelepasan awal dan mengesahkan tahanan rumah Najib Razak sehingga Ogos 2028. - Foto BERNAMA
Tindakan AGC mohon klarifikasi bukan menentang titah YDPA, sebaliknya memastikan pelaksanaan teratur selepas Mahkamah Tinggi membatalkan perintah pelepasan awal dan mengesahkan tahanan rumah Najib Razak sehingga Ogos 2028. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR:

KERAGUAN dan langkah berhati-hati Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam merujuk semula perintah berhubung pelaksanaan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, terbukti berasas dan wajar daripada sudut tatacara perundangan negara.

Perkembangan ini disahkan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa yang membatalkan sepenuhnya 'Perintah Pelepasan atas Pembayaran Denda' (Order of Discharge on Payment of Fine) bertarikh 6 November lalu.

Selain itu Hakim Datuk Aslam Zainuddin turut menggantikannya dengan suatu perintah baharu bagi membolehkan pelaksanaan tahanan rumah dijalankan mengikut lunas undang-undang yang tepat.

Keputusan tersebut direkodkan dalam kamar mahkamah terbuka selepas mendengar prosiding klarifikasi yang dihadiri pasukan Timbalan Pendakwa Raya diketuai Datuk Mohd Nordin Ismail, serta barisan peguam bela tertuduh yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Bukan Ingkar Titah, AGC Pastikan Titah YDPA Dilaksana Sempurna

Langkah AGC memfailkan klarifikasi sebelum ini menegaskan pendirian agensi berkenaan yang sama sekali tidak berniat mengingkari, atau mencabar kuasa pengampunan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim, seperti yang dizahirkan pada 18 September lalu.

Sebaliknya, tindakan pendakwaan adalah semata-mata untuk memastikan titah pengampunan bersyarat Seri Paduka Baginda dapat dikuatkuasakan dengan sempurna dan teratur, tanpa sebarang kecacatan teknikal yang boleh mendedahkan institusi keadilan kepada liabiliti atau pelanggaran prosedur penjara.

Menerusi perintah baharu bertarikh 10 November 2026, mahkamah secara jelas merekodkan bahawa Najib hendaklah menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan itu secara tahanan di rumah beralamat di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, sehingga 23 Ogos 2028.

Dokumen kehakiman itu turut mengesahkan bayaran denda berjumlah RM50,000,000.00 telah pun diselesaikan sepenuhnya kepada mahkamah pada 6 November 2026 melalui Resit No. WA0926000638, selain menetapkan pengampunan bersyarat berkenaan terbatal serta-merta sekiranya tertuduh melanggar syarat yang dimeterai.

Tangkas Tepis Persepsi Buruk Terhadap Kerajaan MADANI

Sebelum klarifikasi ini dimuktamadkan, penangguhan pemindahan Najib ke kediamannya mencetuskan polemik hangat apabila Kerajaan Perpaduan pimpinan gagasan MADANI menjadi sasaran serangan politik daripada pelbagai pihak.

Kerajaan Madani sebelum ini dituduh kononnya sengaja campur tangan, berlengah-lengah, malah cuba memperdaya proses perundangan semata-mata mahu membiarkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu kekal terkurung lebih lama di dalam sel Penjara Kajang.

Namun, prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini menolak naratif politik berkenaan dan membuktikan bahawa kerajaan atau AGC tidak pernah berniat berbuat demikian, sebaliknya penahanan sementara itu berpunca daripada kecacatan instrumen perintah 6 November lalu yang berbunyi 'Perintah Pelepasan'—iaitu istilah perundangan yang membawa erti pembebasan mutlak daripada tahanan dan bukannya pemindahan ke tahanan rumah.

Sekiranya Jabatan Penjara dan AGC melepaskan tertuduh hanya berpandukan perintah pelepasan yang terkhilaf itu tanpa klarifikasi, tindakan tersebut bukan sahaja bercanggah dengan syarat titah pengampunan bersyarat YDPA, malah boleh menjerumuskan agensi penguat kuasa ke dalam krisis perundangan yang jauh lebih besar.

Kecacatan Draf Perintah Cetus Tanda Tanya

Walaupun isu teknikal tersebut berjaya diselesaikan melalui pembatalan perintah terdahulu dan pemakluman perintah substantif baharu hari ini, insiden ini meninggalkan persoalan asas yang sukar diketepikan dalam kalangan pengamal undang-undang.

Bagaimanakah satu perintah asas mahkamah yang membabitkan kes berprofil tinggi sebegini boleh dirangka dengan kecacatan yang begitu ketara pada peringkat awal?

Mengapakah permohonan 'pelepasan denda' difailkan sedangkan terma pengampunan menetapkan tahanan rumah, dan siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab mencetuskan kecelaruan draf perintah ini sehingga memaksa mahkamah bersidang semula untuk membetulkannya?

Kerana akhirnya rakyat, sama ada yang menyokong mahupun yang membangkang, berhak mendapat kefahaman yang jernih dan tepat berhubung apa sebenarnya yang berlaku di sebalik tabir proses perundangan kes berprofil tinggi ini.

Bagi mengelakkan ruang awam daripada terus dicemari teori konspirasi dan sentimen politik yang tidak berasas, penjelasan rasmi yang telus serta menyeluruh daripada pihak Jabatan Peguam Negara amat dituntut bagi merungkai kekeliruan tatacara tersebut sekali gus memelihara wibawa institusi keadilan negara.
 

Must Watch Video

Advertisement