Skip to main content

Malaysia

Tahanan rumah: Najib belum lunaskan denda RM50 juta - Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 9 April -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Mahkamah Tinggi hari ini bagi menyambung perbicaraan berhubung kes saman terhadap kes saman Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berhubung hantaran mengenai isu kronisme di akaun Facebook.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Najib sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak masih belum menjelaskan denda RM50 juta yang ditetapkan sebagai salah satu syarat bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Astro AWANI, susulan keputusan pengampunan bersyarat yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri berkenaan.

“Beliau belum bayar lagi,” katanya di sini pada Isnin.

Sementara itu, anak Najib, Datuk Mohd Nazifuddin ketika dihubungi enggan mengulas lanjut, sebaliknya meminta menghubungi peguam keluarga.

“Mohon hubungi peguam kami,” ujarnya.

Dusuki sebelum ini memaklumkan Najib perlu menjelaskan denda berkenaan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum proses tahanan rumah boleh diteruskan.

Keputusan pengampunan bersyarat itu membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda dan pematuhan semua syarat yang ditetapkan.

Bagaimanapun, Najib masih berada di Penjara Kajang sementara syarat berkenaan dipenuhi dan proses pelaksanaan tahanan rumah dimuktamadkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Penjara Malaysia dijangka memperincikan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan tahanan rumah itu, termasuk aspek lawatan, kawalan keselamatan dan pemantauan pergerakan Najib.

Sebelum ini, pasukan Jabatan Penjara dilaporkan mengunjungi kediaman Najib di Langgak Duta, Kuala Lumpur, bagi tujuan penilaian berkaitan pelaksanaan tahanan rumah.

 

 

Must Watch Video

Advertisement